Data vaksin yang ditunjukkan JKJAV di laman Twitternya setakat semalam.

KUALA LUMPUR – Lebih 10.14 juta atau 43.3 peratus populasi dewasa di Malaysia sudah melengkapkan vaksinasi mereka setakat semalam.

Menurut infografik dikongsikan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) di laman Twitternya, sebanyak 71.4 peratus atau lebih 16.70 juta individu daripada populasi dewasa dalam negara pula sudah menerima suntikan pertama.

Berdasarkan data itu, sejumlah 462,860 dos suntikan harian diberikan pada 13 Ogos 2021.

“Selangor terus mencatatkan pemberian dos kedua tertinggi dengan 92,782; diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (49,776), Sabah (31,147), Johor (25,912), Pulau Pinang (21,903) dan Perak (17,337).

“Ini menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin seluruh negara adalah lebih 26.85 juta,” demikian ciap di Twitter JKJAV hari ini.

Katanya, secara keseluruhan, 51.2 peratus (16.70 juta individu) sudah menerima satu dos suntikan dan 31.1 peratus (10.14 juta) sudah melengkapkan vaksinasi mereka. – MalaysiaGazette