Kongsi
Gol tercantik dunia oleh Mohd Faiz itu adalah melalui sepakan percuma semasa perlawanan Pulau Pinang menentang Pahang pada perlawanan Liga Super, 16 Februari tahun lalu.

KUALA LUMPUR – Mohd. Faiz Subri yang mula mengasah bakat bermain bola sepak di kawasan sawah padi di kampungnya di Ayer Hitam, Jerlun di Kedah telah mengharumkan nama negara di┬áZurich untuk menerima Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016.

Jaringan tercantik oleh penyerang Pulau Pinang itu membolehkan beliau berada di bandar raya itu bersama-sama penerima anugerah pada majlis berkenaan pada Isnin (awal pagi Selasa di Malaysia) seperti bekas pemenang gol tercantik dunia, Cristiano Ronaldo (2009) dan Neymar pada 2012.

Biar pun masih belum menyarung jersi kebangsaan namun pencapaian pemain berusia 29 tahun itu lebih bermakna apabila muncul sebagai pemain pertama dari Asia menerima anugerah tersebut.

Mohd. Faiz melakukan jaringannya yang disifatkan ‘melanggar hukum fizik’ ketika membantu Pulau Pinang menewaskan Pahang 4-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, pada 16 Feb tahun lalu.

Jaringan luar biasa beliau itu, antara yang dianggap paling menarik sepanjang tahun lalu sehingga mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Minat Mohd. Faiz dalam bola sepak dipupuk seawal usianya lapan tahun dan impiannya untuk mewakili negeri tercapai pada usia 18 tahun apabila terpilih mewakili Kedah selama empat tahun pada saingan Piala Presiden.

Karier profesional selaku pemain bola sepaknya bermula pada 2010 setelah dipilih menyertai pasukan Perlis selama dua tahun bagi posisi pemain tengah sebelum berhijrah ke Pantai Timur bagi pasukan T-Team pada 2012, dan Kelantan (2013-2014).

Setelah enam tahun beraksi dalam Liga Malaysia, karier Mohd. Faiz berada di kemuncak apabila beliau menyertai pasukan Pulau Pinang sejak 2015 sehingga kini. Beliau pernah dipanggil menjalani latihan bersama skuad kebangsaan pada tahun 2012, 2013 dan 2015.

“Jika mahu berjaya dalam hidup kita perlu teruskan usaha, perbaiki kelemahan dan sentiasa merendah diri dalam apa jua keadaan,” kata pemain yang dilahirkan pada 8 November 1987 itu.

Beliau mendapat pendidikan sekolah rendah di Sekolah Kebangsaan Tunku Laksamana Hitam sebelum ke Sekolah Menengah Kebangsaan Permatang Bonglai, kedua-duanya di Ayer Hitam dan seterus ke sekolah teknikal di Arau, Perlis.

Mohd. Faiz mempunyai dua cahaya mata iaitu Akif Fayyadh berusia lima tahun dan Muhammad Aqil Zayyan, lapan bulan, hasil perkahwinan dengan Norzawanis Hashim, 29.

Dalam pada itu, rakan sekampungnya, Abu Bakar Zakaria, 37, tidak menyangka teman sepermainan sewaktu zaman remaja dahulu kini menjadi perhatian dunia dek jaringan menakjubkan tersebut.

“Saya memang tak sangka, dia boleh lakukan gol sepakan percuma yang melencong ke arah berlawanan sebelum menerjah gawang.

“Hati saya kuat menyatakan gol Mohd. Faiz berpotensi diangkat sebagai pemenang Anugerah Puskas kali ini,” kata Abu Bakar.

Berkongsi pandangan sama, rakan sepasukan, Mohamad Redzuan Suhaidi berkata, jaringan Mohd. Faiz menjadi motivasi buat dirinya serta pemain muda lain dalam skuad Harimau Kumbang untuk menempa nama seperti pemain itu.

“Fenomena yang melanda Mohd. Faiz membuka mata semua pemain bahawa sesiapa sahaja boleh menyinar ke peringkat tertinggi dengan usaha berterusan,” katanya.

Beliau mengakui Mohd. Faiz seorang yang rajin berusaha termasuk berlatih bersendirian selepas tamat latihan. – MalaysiaGazette

SumberBERNAMA
Kongsi

Tinggalkan Jawapan