Nasrudin Hassan
Nasrudin Hassan

Parti MCA tidak perlu melatah dengan penganjuran Himpunan 355 (H355), kata Nasrudin Hassan Tantawi.

“MCA tidak perlu melatah. Malah tidak perlu siapa pun menentang himpunan ini.

“Justeru himpunan ini akan dianjurkan secara tertib dan mematuhi undang-undang serta dilangsungkan secara aman, harmoni dan mendidik rakyat,” kata Ahli Parlimen Temerloh itu dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kebimbangan parti bukan majoriti Melayu termasuk MCA mengenai H355 kerana mereka juga menentang Rang Undang-Undang 355 sebelum ini.

Nasrudin yang juga Pengarah H355 yang akan diadakan 18 Februari ini di Dataran Merdeka memaklumkan ia satu himpunan aman dan bertujuan untuk mengharmonikan ummah dalam memperjuangkan isu pindaan Akta 355.

H355 dianjurkan oleh Sekretariat H355* yang menggabungkan ratusan NGO-NGO Islam, parti politik, individu, aktivis masyarakat dan turut mendapat sokongan daripada kalangan bukan muslim.

“H355 ini tiada perarakan jalanraya, tiada gerakan anti keamanan dan tidak mengancam kestabilan negara,” katanya lagi.

Menurut Nasrudin, himpunan yang sama juga akan dibimbing oleh penceramah selebriti, Ustaz Azhar Idrus dan munajat oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Al Bakiri.

“Kita mengharapkan himpunan ini dapat diadakan di Dataran Merdeka pada tarikh yang dijadualkan. Permohonan dari pihak sekretariat penganjur telah dihantar kepada pihak berwajib,” jelasnya.

Pihaknya juga akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bagi tujuan yang sama.

“Pihak kami akan memberi komitmen sepenuhnya untuk menjaga kebersihan tapak program, keselamatan, ketenteraman awam, keceriaan ibu kota dan akan memberi kerjasama baik kepada pihak berkuasa tempatan,” katanya.-MalaysiaGazette