Kongsi
Jamal dengan muka berceloreng berkunjung ke Wisma FAS pagi ini

PETALING JAYA – Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos pagi ini berada ke Wisma Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) untuk menghantar surat bagi menawarkan diri untuk presiden persatuan itu.

Beliau bersama sekumpulan pengikutnya tiba di pekarangan wisma itu kira-kira jam 10 pagi, bagi memenuhi janjinya untuk menerajui FAS, yang bergolak selepas Datuk Seri Mohamed Azmin Ali meletakkan jawatan 30 Disember lalu.

Jamal yang juga Ketua Gerakan Baju Merah berkata, sebagai peminat setia skuad Red Giants, beliau kecewa dengan pengurusan FAS kerana gagal membimbing pasukan itu yang menjuarai Piala Liga Super tahun lepas.

“Saya datang ke sini (Wisma FAS) kerana hendak menyerahkan surat menawarkan diri sebagai Presiden FAS. Saya dimaklumkan jawatan itu kosong selepas Menteri Besar (Mohamed Azmin) meletakkan jawatan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohamed Azmin melepaskan jawatan itu bersama pengurus skuad Liga Super Selangor, Amirudin Shari dengan alasan anggota Exco FAS sedia ada masih mengekalkan sikap dan budaya lama, iaitu ‘politik berlebih-lebihan, melakukan kerja dengan cara lama dan amat bergantung kepada mentaliti subsidi’.

Malah, dakwanya, sehingga kini, barisan Exco FAS gagal mengemukakan pelan strategik untuk pengurusan bola sepak negeri termasuk organisasi pentadbiran profesional, sebagaimana disarankan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menjelang penswastaan sepenuhnya Liga Malaysia pada 2018.

Jamal yang mencoreng mukanya dengan warna merah kuning iaitu lambang skuad Red Giants sebelum ini pernah menyatakan hasratnya menerajui FAS dan berjanji akan menyelesaikan tunggakan gaji pemain sekiranya dipilih. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan