Syed Mohd. Johan Rizal

Kejayaan anak Kedah, Mohd. Faiz Subri melayakkan beliau menjadi ikon Transformasi Nasional (TN50), kata Pengerusi Kelab Belia Darul Aman, Syed Mohd. Johan Rizal b. Syed Unan Al Mahsri.

Beliau berkata, kejayaan anak jati Lana Bulu, Jerlun memenangi anugerah tersohor Puskas harus dilihat sebagai satu legasi hebat yang bukan mudah dicapai.

“Ini merupakan satu kebanggaan bukan sahaja kepada kepada negara, malahan kepada Kedah dan seluruh rakyat negeri ini,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Syed Mohd. Johan, Mohd. Faiz telah membuktikan anak kampung sepertinya boleh berjaya di pentas dunia.

Pada peringkat Kedah, Kelab Belia Darul Aman berhasrat mencadangkan nama beliau kepada kerajaan negeri untuk diiktiraf dan diangkat selaku Duta Muafakaf Belia Kedah.

“Menerusi platform ini Mohd. Faiz akan disarankan untuk dibawa melakukan road show serata negeri menerusi kerjasama Jabatan belia dan Sukan untuk memberikan ceramah kesedaran, berkongsi pengalaman dan menyuntik motivasi kepada belia yang lain agar dapat mencipta kejayaan seperti dirinya mengikut minat dan bidang yang diceburi,” ujarnya.-MalaysiaGazette