Home Nasional Pegawai Pejabat Daerah JB didakwa terima rasuah

Pegawai Pejabat Daerah JB didakwa terima rasuah

117
0
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia

JOHOR BAHRU – Seorang Penolong Pegawai Tanah Pejabat Tanah Daerah (PTD) Johor Bahru yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dituduh di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini berhubung kesalahan menerima rasuah berjumlah RM150,000 daripada seorang pengarah urusan syarikat.

Tertuduh, Ahmad Ehwan Ahmad, 56, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Mohd Fauzi Mohd Nasir.

Mengikut pertuduhan, suspek didakwa menerima wang berjumlah RM150,000 daripada Toh Ang Poo yang mempunyai kaitan dengan tugas rasmi tertuduh dalam beberapa permohonan permit pemindahan bahan batuan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut pada 5 September 2016 di Affin Bank Bhd, 24-7-25, Kebun Teh
Commercial City, Johor Bahru.

Ahmad Ehwan didakwa di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Semalam, tertuduh ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kira-kira jam 6.55 petang selepas diambil keterangan di Pejabat SPRM Negeri Johor.

Tertuduh sebelum ini turut diperintah reman selama 6 hari bermula 28 November tahun lalu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Amir Nasruddin.

Hakim menetapkan jaminan sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin dan passport diserahkan kepada mahkamah.

Tarikh sebutan semula kes pada 14 Februari depan. – MalaysiGazette

Tinggalkan Jawapan