Kongsi
PROJEK MRT memberi kesan paling ketara terutama kawasan yang berada dalam lingkungan radius satu kilometer dari stesen MRT.
KUALA LUMPUR – Serangan berterusan oleh anggota parlimen Pandan Mohd Rafizi Ramli terhadap kos projek MRT yang dikatakannya akan membebankan rakyat, mendedahkan pemikiran jangka pendek Rafizi dan Pakatan.

Pasukan Komunikasi Strategik Barisan Nasional membidas Rafizi kerana tidak memperdulikan manfaat projek itu kepada orang ramai.

“Apa yang dia tidak sebutkan ialah kos TIDAK melaksanakan projek MRT dan pelbagai penambahbaikan terhadap projek pengangkutan awam sejak beberapa tahun kebelakangan ini akan lebih besar,” kata pasukan itu dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pasukan itu mendedahkan bahawa laporan Pemantauan Ekonomi mengenai projek pengangkutan awam di Malaysia oleh Bank Dunia 2015 antara lain menyatakan bahawa pengguna menghabiskan antara 270 dan 500 juta jam dalam kesesakan di Greater KL pada 2014.

Pasukan itu berkata mengikut laporan, kereta menggunakan 1.2 bilion liter bahan api dalam kesesakan lalu lintas; dan berdasarkan harga semasa, ini bermakna RM2.52 bilion wang rakyat dibelanjakan setiap tahun.

“Masa dan bahan api yang terbuang bagi setiap orang di Greater KL mencecah sekurang-kurangnya RM3,100 setiap tahun, lebih daripada gaji purata bulanan (RM2,795); dan jumlah kos trafik di Greater KL dianggarkan 1.1 peratus hingga 2.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2014.

“Pada 2016, ini bermakna kerugian kepada Malaysia setiap tahun ialah sebanyak RM13 bilion hingga RM26 bilion,” kata mereka.

Pasukan itu berkata walaupun pelaburan bagi pengangkutan awam membabitkan kos yang tinggi, kerajaan akan secara tidak langsung memperoleh kembali pelaburan dalam jangka panjang melalui cukai ke atas produktiviti yang bertambah baik, peningkatan nilai hartanah serta peningkatan aktiviti ekonomi di kawasan-kawasan yang diliputi oleh pengangkutan awam.

Selain itu, kerajaan juga akan mendapat penjimatan yang lebih besar daripada kos persekitaran dan penjagaan kesihatan yang berkurangan.

“Kecekapan projek pengangkutan awam seperti MRT adalah pelaburan yang sejak beberapa dekad lalu akan mengembalikan manfaat kewangan kepada rakyat Malaysia melalui penjimatan masa, mengurangkan kos pengangkutan dan pemilikan kereta. Rakyat Malaysia juga mendapat manfaat daripada kesejahteraan dan pengurangan tekanan.

“Kami terkejut bahawa Rafizi tidak berpandangan jauh dan mempunyai pemikiran tidak strategik dan terus menjadikannya sebagai isu dan mengabaikan sama sekali bahawa manfaatnya kepada kerajaan dan rakyat adalah jauh mengatasi kos – terutama sejak terbukti bahawa kos projek MRT di Malaysia tidak terlebih harga.”

Pasukan itu berkata, kerajaan telah mendapat pujian kerana melaksanakan penambahbaikan pengangkutan awam begitu besar mengikut masa dan bajet sejak 2010.

“Hanya ahli politik yang mementingkan diri sendiri dan mempunyai pemikiran jangka pendek tidak dapat melihat gambaran sebenar – dan lebih teruk lagi, terus berbohong secara melampau-lampau dan menipu untuk melakukan serangan ini,” kata pasukan itu.

— BERNAMA

Kongsi

Tinggalkan Jawapan