Kongsi
Shamsinar Ambia dikenakan hukuman denda RM10,000 atau penjara setahun dan khidmat masyarakat selama 240 jam oleh Mahkamah Sesyen Kuala Pilah. - foto BERNAMA

KUALA PILAH – Mahkamah Sesyen Kuala Pilah hari ini menjatuhi hukuman denda RM10,000 atau penjara setahun dan khidmat masyarakat selama 240 jam ke atas seoarang wanita yang didakwa mengabaikan kanak-kanak tiga tahun di sebuah rumah di Kampung Parit Buluh, Gemenceh di Tampin, Khamis lepas.

Hakim Nariman Badruddin membuat keputusan itu selepas tertuduh, Shamsinar Ambia, 36, mengaku bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, Shamsinar didakwa sebagai penjaga meninggalkan kanak-kanak tersebut dalam keadaan tidak berpatutan di sebuah rumah sewa di Kampung Parit Buluh, Tampin pukul 7 malam, Khamis lepas.

Terdahulu, dalam rayuannya, Shamsinar meminta mahkamah mengenakan hukuman yang ringan kerana ini merupakan kesalahannya yang pertama.

“Saya orang susah, anak seramai tiga orang yang berusia 13,14 dan 17 tahun masih bersekolah, tambahan pula saya tidak bekerja dan suami tiada kerja tetap,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Nik Azhan Hakim Nik Mahmood meminta mahkamah menjatuhkan hukuman sewajarnya kerana hukuman di bawah Seksyen 33 (1)(c) Akta Kanak-kanak 2001 telah dinaikkan kepada denda RM20,000 atau penjara tidak lebih lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam akan membayar denda tersebut. – MalaysiaGazette

Kongsi

Tinggalkan Jawapan