KUALA LUMPUR – Penyerang import Selangor, Andik Vermansyah selamat menjalani pembedahan akibat kecederaan yang dialaminya dan dinasihatkan supaya berehat selama dua bulan.

Andik dalam status di Instagramnya memberitahu urusan pembedahan berjalan lancar.

Pemain antarabangsa Indonesia itu mengalami kecederaan pada aksi final pertama ketika negaranya menentang Thailand dalam Piala AFF Suzuki 2016.

Ia adalah penampilan pertama Indonesia dalam pentas antarabangsa setelah digantung hampir dua tahun.

Pada awalnya, pemain bertubuh kecil tapi lincah ini dikatakan mengalami kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) yang sering menimpa pemain bola sepak.

Namun selepas didiagnosis, rupanya Andik dikesan cedera akibat posterior cruciate ligament yang boleh dikatakan tidak seteruk ACL.

Andik menyertai Selangor pada tahun 2014 dan pernah menjulang Piala Malaysia bersama-sama dengan Gergasi Merah pada tahun 2015.

Dia sempat menjadi menjadi kapten pasukan Selangor pada musim lalu ketika Shahrom Kalam berehat kerana kecederaan.

Andik juga menjadi watak penting yang membantu Selangor mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia musim lalu.

Namun mereka ditewaskan oleh Kedah dalam penentuan sepak penalti. – MalaysiaGazette