Faiz Subri mencium trofi kemenangan Anugerah FIFA PUSKAS 2016 pada sesi sidang media ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. foto FAREEZ FADZIL, 11 JANUARY 2017

GEORGETOWN – Rezeki Anugerah FIFA PUSKAS 2016, Mohd. Faiz Subri terus melimpah ruah apabila ganjaran terkumpul yang diterimanya setakat ini meningkat kepada RM200,000.

Malam tadi, kerajaan Pulau Pinang pula mengumumkan imbuhan sebanyak RM50,000 kepada pemain berusia 29 tahun itu.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata, kerajaan negeri amat berbangga dan gembira dengan pencapaian pemain tengah Pulau Pinang itu di peringkat antarabangsa.

“Ini kali pertama saya duduk semeja dengan pemenang Anugerah Puskas dan saya ingin mengumumkan bahawa kerajaan negeri akan memberi RM50,000 sebagai hadiah atas kejayaan Mohd Faiz,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Mohd. Faiz yang ditemui pemberita sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada Rabu berkata tumpuannya kini adalah untuk membantu pasukan Pulau Pinang dalam saingan Liga Super 2017.

Petang semalam, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaludin turut mengumumkan kementeriannya menghulurkan wang tunai RM100,000 kepada Mohd. Faiz sebagai sagu hati ketika menyambut kepulangannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia, Datuk Hamidin Mohd. Amin juga menyampaikan sumbangan RM50,000 kepada Mohd. Faiz.

Mohd Faiz berkata, dia akan lebih fokus terhadap latihan bersama pasukan Pulau Pinang agar dapat menampilkan prestasi terbaik dalam kempen Liga Super musim ini.

“Selepas ini, saya berharap dapat membantu Pulau Pinang dalam saingan Liga Super dan jika ada rezeki saya mahu menyarung jersi kebangsaan,” katanya yang berazam untuk disenaraikan dalam kesebelasan utama pasukan Pulau Pinang musim ini.

Sementara itu, jaringan menarik Mohd Faiz menerima undian sebanyak 59.46 peratus, sekali gus mengalahkan dua lagi calon – Johnath Marlone Azevedo da Silva dari Brazil yang mendapat 22.86 peratus dan pemain wanita, Daniuska Rodriguez dari Venezuela iaitu 10.01 peratus.

Mohd. Faiz melakar jaringan cantik menerusi sepakan percuma ketika Pulau Pinang menewaskan Pahang 4-1 pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, 16 Februari tahun lepas.

Terdahulu, hampir 500 penyokong termasuk anggota keluarga Mohd Faiz menyambut ketibaan beliau di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang. – MalaysiaGazette