Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah, Yang di-Pertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud dan isteri Toh Puan Ragad Al Kurdi Taib, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor menyertai ribuan rakyat di upacara pengebumian tersebut.
KUCHING – Jenazah Allahyarham Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem selamat dikebumikan dengan istiadat pengebumian Negeri di tanah perkuburan Islam Samariang di sini hari ini.

Keranda jenazah yang ditutupi bendera negeri dan diusung oleh pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia tiba di tanah perkuburan itu pada 2.05 petang.

Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah, Yang di-Pertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud dan isteri Toh Puan Ragad Al Kurdi Taib, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor menyertai ribuan rakyat di upacara pengebumian tersebut.

Isteri Allahyarham Puan Sri Jamilah Anu dan anggota keluarganya serta sanak saudara turut berada di tanah perkuburan itu.

Adenan, 72, yang menjadi ketua menteri hampir tiga tahun meninggal dunia akibat komplikasi jantung di Pusat Jantung Kota Samarahan dekat sini kira-kira 1.20 tengah hari semalam.

Menteri-menteri persekutuan dan negeri, ketua-ketua jabatan persekutuan dan negeri, pemimpin-pemimpin masyarakat, persatuan, badan bukan kerajaan hadir di upacara pengebumian itu.

Mereka termasuk Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein Onn, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Nancy Shukri dan Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Haji Openg.

Semasa upacara pengebumian itu, Imam Besar Masjid Jamek Sarawak Mustapha Kamal Ahmad Fauzi memimpin bacaan Talkin.

Anak-anak dan cucu-cucu Allahyarham kelihatan duduk di sekeliling kubur tersebut semasa bacaan Talkin itu.

Setelah bacaan Talkin, ketua pasukan pengusung kemudian menyerahkan bendera Sarawak sebagai penghormatan tertinggi kerajaan negeri dan rakyat kepada Yang di-Pertua Negeri yang kemudian menyerahkannya kepada Jamilah.

Selepas itu, Jamilah menyiram air mawar di pusara Allahyarham, diikuti Yang di-Pertua Negeri dan isteri, Sultan Brunei, Najib dan isteri.

Anak-anak serta cucu-cucu Allahyarham turut menyiram air mawar di pusara Allahyarham.

Terdahulu, solat jenazah diadakan di Masjid Jamek Sarawak, Petra Jaya di sini sebelum van jenazah membawa keranda Allahyarham ke tanah perkuburan itu, kira-kira dua kilometer dari masjid.

Orang ramai kelihatan berada di laluan dua kilometer itu untuk memberikan penghormatan terakhir kepada pemimpin mereka yang lebih mesra dikenali sebagai “Tok Nan”

Ribuan orang kenamaan dan orang ramai memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham di masjid tersebut pagi tadi dan di kediamannya di Damai Jaya, Santubong dekat sini sejak semalam dan pagi tadi.

Semalam, Abang Johari mengumumkan hari ini sebagai hari kelepasan am bagi Sarawak dan tempoh berkabung selama tujuh hari dengan bendera negeri dikibarkan separuh tiang.

— BERNAMA