Majlis akad nikah pelakon, Mia Ahmad bersama penjaga gol pasukan JDT, Mohd. Izham Tarmizi Roslan, 25, akan berlangsung esok.

Mia atau nama sebenarnya Shamiha Ahmad Baderi, 29, akan dinikahkan di Taiping Sentosa Villa, Taiping, Perak pukul 9.30 pagi.

Majlis resepsi pula akan diadakan pada keesokan harinya di Taiping Gold and Country Club, Taiping pada sebelah malam.

Majlis sebelah lelaki pula akan diadakan di Marang, Terengganu  pada Mac depan.

Satu majlis resepsi untuk keluarga terdekat dan rakan-rakan akan diadakan di Kuala Lumpur pada hujung bulan ini.

Gambar pra perkahwinan pasangan ini dirakamkan di New Zealand.

Pada 2 Disember lalu, Mia dan Izham telah mengadakan sidang media mengumumkan mengenai majlis perkahwinan mereka.

Menceritakan detik-detik perkenalan, semuanya bermula di Twitter iaitu Izham sendiri telah tweet kepada Mia terlebih dahulu.

Izham juga mengakui, sebagai lelaki dia yang cuba mendekati Mia kerana minat dengan cara dan perwatakan Mia ketika berlakon.

Sementara Mia pula, jatuh cinta kerana kesungguhan yang ditunjukkan oleh pemain bola tersebut yang tidak putus asa mendekatinya. – MalaysiaGazette