Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Mohd Hashim Abdullah.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas selepas menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak berhubung kematian Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata, SPR mengambil maklum akan pengumuman kekosongan kerusi DUN Tanjong Datu yang disandang Allahyarham Adenan.

“Kita menunggu pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Sarawak mengenai kematian itu dan kekosongan luar jangka kerusi DUN Tanjong Datu,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Mohd Hashim berkata, sebarang maklumat lanjut mengenai perkara tersebut akan dibuat dari semasa ke semasa.

Allahyarham Adenan, 72, adalah penyandang kerusi Tanjong Datu sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) 2006 dan sebelum ini adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang sejak pilihan raya kecil pada Januari 1979.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 1.20 tengah hari semalam di Pusat Jantung Sarawak, Kota Samarahan, Kuching berikutan komplikasi jantung.

Jenazahnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Samariang, Petrajaya selepas solat Zohor hari ini. – MalaysiaGazette