Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

MELAKA- Jabatan Peguam Negara tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pegawai undang-undangnya yang terlibat dengan rasuah, kata Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Justeru, beliau menyeru semua pegawai undang-undang itu supaya tidak sama sekali terlibat dengan sebarang kegiatan rasuah, salah guna kuasa dan perlanggaran peraturan serta undang-undang yang mencemar nama baik jabatan itu.

“Jika wabak penyakit dapat kita sembuhkan dengan penemuan vaksin dan anti-bakteria yang sesuai, wabak rasuah hanya boleh diubati dengan keinsafan hati diri kita sendiri.

“Terlalu banyak yang boleh kita lakukan tetapi pokok pangkalnya masih berbalik kepada diri tuan puan sendiri,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Pegawai Undang-undang Jabatan Peguam Negara 2017 di sini hari ini seperti yang dilaporkan BERNAMA.

Mohamed Apandi berkata, gejala rasuah adalah seperti anai-anai yang akan memamah rakus keutuhan negara sedikit demi sedikit, dan seperti anai-anai, kehadirannya seringkali tanpa disedari.

“Hanya bermula dengan pelawaan makan malam di hotel terkemuka ia kemudian bersabit pula dengan pelawaan bermain golf dan melancong…akhirnya ia merebak dan menjerumus kepada permintaan dan pemberian wang ringgit serta barangan berharga secara terbuka tanpa segan silu,” katanya.

Beliau berkata, perbuatan rasuah yang dominan dan sukar diubah ketika ambang kejatuhan Empayar Melaka dahulu, terutamanya di kalangan pembesar dan saudagar, seharusnya dijadikan teladan serta diinsafi generasi masa kini.

“Kesetiaan pembesar dan saudagar amat mudah dibeli melalui wang ringgit dilabur Portugis,” katanya.

Katanya, Empayar Melaka yang dikatakan kebal akhirnya jatuh ke tangan Portugis pada 1511 bukan kerana tiada senjata canggih atau kudrat pahlawan, sebaliknya benteng kukuh empayar itu dirobohkan sedikit demi sedikit oleh orang yang berlindung di sebaliknya. – MalaysiaGazette