Datuk Chang Ko Youn

KUALA LUMPUR – UMNO dan Pas sukar untuk bekerjasama kerana kedua-dua parti itu bukan sahaja mempunyai ideologi berbeza, tetapi akan bertembung dalam soal pengagihan kerusi.

Penasihat Gerakan, Tan Sri Chang Ko Youn berpendapat, UMNO mungkin ‘tergerak hati’ jika perhimpunan sokong Rang Undang-Undang 355 yang dirancang Pas mendapat sokongan menggalakkan.

“UMNO bagaimanapun harus mengambil kira kaum lain. Jangan UMNO berubah hanya kerana kehilangan undi Cina buat sementara waktu, ia adalah tidak baik buat UMNO untuk jangka panjang.

“Jika UMNO bekerjasama dengan Pas dalam isu RUU 355, ia tidak bermaksud mereka boleh bekerjasama secara jangka panjang, kerana mereka merebut kumpulan pengundi yang sama.

“Keadaannya bagaikan berebut nasi di mangkuk yang sama,” katanya kepada China Press.

Tambahnya, ideologi UMNO dan Pas juga berlainan dengan satu berhaluan kanan dan satu lagi berhaluan kiri.

Ditanya sama ada Gerakan akan meninggalkan Barisan Nasional (BN) jika UMNO betul-betul bekerjasama dengan Pas, Ko Youn berkata, partinya perlu mengkaji semula kedudukan dan makna Gerakan dalam BN jika keadaan itu berlaku.

Penganalisis politik, Oh Ei Sun pula berpendapat, MCA dan Gerakan tidak dapat menghalang UMNO untuk menyokong RUU 355.

Katanya, sebagai abang besar dalam BN, UMNO akan menentukan pendirian, keputusan dan maksud semangat BN.

Naib Presiden MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun berkata, tujuan Pas mengadakan perhimpunan 355 adalah untuk mewujudkan fenomena dalam kalangan rakyat.

Menurutnya, MCA bagaimanapun tidak akan berganjak untuk terus membantah pelaksanaan RUU 355.

Tegasnya, Malaysia tidak harus mempunyai dua sistem undang-undang yang berlainan.