Zukri Samat memberi penerangan kepada Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani (kiri) mengenai mesin imbas perkhidmatan melalui kad tanpa sentuh pada Karnival Kewangan di Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 13 JANUARI 2017.

KUALA LUMPUR – Kehadiran Pengarah Urusan Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) di Karnival Kewangan anjuran Bank Negara Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini menjawab teka-teki kononnya beliau digantung kerja.

Datuk Seri Zukri Samat yang tiba awal di karnival itu dilihat berada dalam kalangan para pemimpin institusi kewangan di kerusi barisan hadapan pentas utama bagi turut serta dalam majlis perasmian karnival itu oleh Menteri Kewangan Kedua.

Beliau yang ditemui tidak terkejut ketika ditanya mengenai spekulasi itu.

Sebaliknya dengan tenang, Zukri berkata, setakat ini beliau masih kakitangan dan berada di Bank Islam.

Ditanya mengapa tiba-tiba itu spekulasi digantung kerja tersebar, Zukri yang dikenali agak pendiam, hanya tersenyum.

“Biarlah mereka hendak kata apa pun. Saya masih lagi bekerja,” katanya kepada MalaysiaGazette.

BACA: Pengarah Urusan Bank Islam tidak digantung kerja

Malah, beliau juga tidak tahu mengapa tiba-tiba namanya dikait dengan cerita negatif menjelang persaraannya pada Jun tahun ini.

Zukri yang telah 10 tahun berkhidmat dengan Bank Islam berkata, beliau sebenarnya telah menyatakan hasrat untuk meninggalkan bank itu sejak dua tahun lalu.

Namun keputusannya ditolak oleh Lembaga Pengarah Bank Islam kerana ketika itu belum ada calon yang sesuai.

“Tetapi cukuplah sehingga tahun ini, sudah 10 tahun saya di Bank Islam. Tempoh itu sudah lama.

“Lagipun umur sudah 58 tahun, saya hendak berehat,” tambahnya.

Ditanya sama ada Bank Islam sudah ada pengganti sehebat beliau, Zukri berkata, perkara itu akan diumumkan oleh Lembaga Pengarah menjelang Mac nanti sebelum beliau mula bercuti.

Semalam Bank Islam menafikan fitnah yang dibuat oleh Raja Mohd. Shahrim di laman facebooknya yang mengatakan Zukri digantung kerja.

Pengerusi Bank Islam, Datuk Zamani Abdul Ghani dalam satu kenyataan berkata, kumpulan meletakkan sepenuh kepercayaan kepada Zukri yang akan bersara pada Jun tahun ini.

Tambahnya, Zukri akan berkhidmat sehingga akhir tempoh perkhidmatannya, sambil menegaskan, Zukri mempunyai reputasi yang sangat tinggi sebagai pengarah urusan Bank Islam.

Raja Mohd Shahrim dalam Facebooknya mendakwa Zukri dan Ketua Pegawai Operasi Bank Islam, Datuk Norasni Ayob telah digantung kerja.

Bagaimanapun, katanya, perkara itu tidak didedahkan kerana bimbang berlaku krisis kepercayaan dalam kalangan pelanggan Bank Islam. – MalaysiaGazette