Aliyah Maisara Md Akir (dua kanan) menunjukkan surat tawaran kemasukan ke tingkatan satu Maktab Rendah Sains Mara. foto SAFWAN MANSOR, 13 JANUARI 2017

KUALA LUMPUR – Memiliki kedua ibu bapa yang buta sejak dia dilahirkan, Aliyah Maisara, 12, tekad menanam cita-cita tinggi untuk mengubah kehidupan golongan orang kelainan upaya itu.

Apatah lagi dia melalui pengalaman sejak kecil melihat bapa, Md. Akir Jardi, 49 dan ibu, Faizul Mat Jari, 50, menjalani kehidupan dalam dunia serba kegelapan.

Impian Aliyah hanya satu. Dia mahu menjadi doktor pakar mata selain pilihan kedua sebagai pakar jantung.

“Saya sudah rasa ada emak dan ayah yang tidak nampak. Saya hanya mahu bagi sokongan kepada orang lain yang memiliki masalah sama untuk dibantu pada masa depan,” katanya yang petah berkata-kata.

Dan kini, impiannya sudah selangkah ke hadapan apabila dia ditawarkan kemasukan ke Tingkatan Satu Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) bermula bulan depan.

Aliyah yang mencatat keputusan cemerlang dengan mendapat 6A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) ditawarkan kemasukan di MRSM Alor Gajah, Melaka.

Surat tawaran itu diserahkan sendiri oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismai Sabri di rumahnya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jelatek di sini hari ini.

Turut berada di sisinya menerima surat itu adalah Md. Akir yang buta sejak lahir dan Faizul yang hilang penglihatan ketika berusia 16 tahun. Kedua-dua mereka bekerja sebagai operator telefon.

Kata Aliyah, dia sanggup menolak tawaran ke Sekolah Sains Muar, Johor dan Sekolah Aminuddin Baki, Kuala Lumpur kerana menjadikan MRSM sebagai pilihan utamanya.

“Saya sanggup tidak pergi kerana menunggu tawaran ke MRSM. Saya lihat ramai pelajar yang keluar dari MRSM telah berjaya kerana mendapat pembelajaran yang sempurna dan kemudahan yang lengkap.

“Saya bersyukur dapat MRSM Alor Gajah kerana menyediakan pengangkutan untuk saya mudah balik, keluarga tidak perlu jemput dan hanya perlu naik bas,” katanya.

Anak bongsu tiga beradik itu sempat berkongsi rahsia kejayaan walaupun mengharungi kehidupan dalam serba kekurangan.

“Saya hanya fokus belajar di dalam kelas. Balik rumah hanya belajar sikit-sikit.

“Saya nak rehat dan tidak mahu rasa tertekan belajar. Saya juga tidak pernah mengikuti kelas tuisyen di luar,” katanya yang merupakan bekas murid Sekolah Kebangsaan Keramat 2.

Dia kini bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Tembak. – MalaysiaGazette