Zukri Samat memberi penerangan kepada Gabenor Bank Negara, Datuk Muhammad Ibrahim dan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani di Karnival Kewangan di Dewan Tun Razak 1, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 13 JANUARI 2017

KUALA LUMPUR – Kejatuhan nilai mata wang ringgit bukanlah suatu keadaan yang unik dan terpencil, sebaliknya ia adalah fenomena global.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Muhammad Ibrahim berkata, pengukuhan ketara dolar Amerika Syarikat telah menyebabkan seluruh matawang negara serantau dan global turut mengalami tekanan kemerosotan.

Ia disebabkan oleh beberapa faktor termasuklah ketidaktentuan dasar monetari di Amerika Syarikat serta ketidaktentuan perkembangan arus ekonomi dan politik dunia dan serantau.

Situasi global itu telah menganggu sentimen pasaran kewangan antarabangsa lalu mengakibatkan aliran keluar dana dari pasaran negara pesat membangun.

“Nilai mata wang banyak negara telah merosot. Nilai Ringgit juga tidak terkecuali. Nilai Ringgit pula dipengaruhi oleh struktur ekonomi dan pasaran kewangan kita yang paling terbuka di kalangan negara pesat membangun.

“Pasaran kita terdedah kepada ketidaktentuan pasaran kewangan global yang menyebabkan kebalikan pelaburan portfolio (portfolio reversal),” katanya ketika berucap dalam majlis Karnival Kewangan anjuran Bank Negara Malaysia di sini.

Ringgit menyusut sebanyak 4.3 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat pada tahun lalu dan mata wang itu pernah mencecah tahap terendah di paras RM4.486 berbanding dolar Amerika Syarikat.

Kejatuhan ringgit itu telah mencetuskan kebimbangan di kalangan rakyat, lantaran itu ada yang menganggap ia mencerminkan kedudukan ekonomi negara semakin menurun.

“Saya ingin menjelaskan di bawah rejim mata wang yang fleksibel, perubahan nilai ringgit mencerminkan beberapa faktor luaran dan dalaman termasuk kekukuhan ekonomi domestik dan aliran pelaburan asing di pasaran kewangan.

“Ekonomi kita masih kekal mampan dengan prestasi pertumbuhan yang baik di lingkungan 4.0 hingga 5.0 peratus berbanding prestasi ekonomi serantau dan negara pesat membangun,” katanya.

Muhammad berkata, tindakan segelintir pelabur yang mengambil kesempatan dalam kemelut pasaran yang tidak menentu untuk mengaut keuntungan melalui aktiviti spekulatif mata wang di pasaran luar pesisir.

Ini terbukti apabila beberapa bank persisir telah dikenakan tindakan undang-undang dan didenda dengan berat kerana terlibat dalam manipulasi penentuan harga.

Selain itu, katanya, tekanan terhadap ringgit telah menjadi lebih ketara apabila terdapatnya ketidakseimbangan terhadap permintaan dan penawaran di pasaran matawang domestik.

“Negara kita merupakan sebuah negara pengeksport dan kedudukan akaun semasa dalam imbangan pembayaran negara sentiasa berada di paras lebihan sejak lebih sedekad lalu.

“Namun apabila ketidakseimbangan berlaku, di mana hasil eksport dalam matawang asing tidak ditukarkan ke ringgit, ia memburukkan keadaan, dan seterusnya mengurangkan permintaan ke atas matawang ringgit.

“Ketidakseimbangan juga berlaku disebabkan faktor spesifik yang lain. Umpamanya, tahun 2015, aliran keluar berpunca daripada perbelanjaan pelancong Malaysia ke luar negara berjumlah RM41 bilion, manakala aliran keluar pengiriman wang oleh pekerja asing adalah sebanyak RM34 bilion.

“Jadi, apabila permintaan terhadap mata wang berkurangan, maka harga mata wang tersebut akan merosot,” ujarnya.

Gabenor menambah, bagi mengatasi masalah ini, Bank Negara Malaysia dan Jawatankuasa Pasaran Kewangan mengambil langkah-langkah campur tangan untuk menyekat aktiviti spekulasi di pasaran luar pesisir serta menyelaraskan keseimbangan pasaran matawang domestik.

Tegasnya, langkah-langkah liberalisasi pasaran matawang domestik akan terus dipertingkatkan untuk menggalakkan perkembangan dan mengukuhkan kestabilan dan daya tahan.

Hasil daripada langkah-langkah proaktif ini, beberapa perkembangan positif telah dapat dilihat. Gangguan spekulasi terhadap ringgit di pasaran luar pesisir telah dapat dikawal.

Malah, keseimbangan permintaan terhadap nilai ringgit di pasaran matawang domestik juga telah semakin baik dan turun naik dalam nilai ringgit juga semakin menurun.

Muhammad berkata, sebagai sebuah pasaran terbuka, Malaysia akan terus terdedah kepada ketidaktentuan dalam arus ekonomi dan kemelut geopolitik dunia.

Oleh itu, katanya, Bank Negara Malaysia perlu mengambil langkah berhemat dengan terus memantau persekitaran pasaran kewangan dan akan memperkenalkan langkah baru untuk memantapkan lagi polisi yang sedia ada.

Katanya, Malaysia tidak perlu meletakkan nilai ringgit pada peringkat yang tertentu sebagai nilai keseimbangan (equilibrium value of ringgit) kerana ia seolah-olah mencadangkan nilai ringgit sebagai suatu sasaran untuk memastikan keseimbangan ekonomi.

Pendekatan itu tidak tepat dan tidak produktif kerana kedudukan ringgit pada ketika ini tidak mencerminkan asas-asas ekonomi negara kita.

Sehubungan itu, Malaysia tidak perlu terlalu tertumpu kepada nilai keseimbangan ringgit kerana nilai ini akan sentiasa berubah di dalam keadaan ekonomi global yang mencabar, tidak menentu dan dinamik.

“Saya percaya langkah-langkah yang diperkenalkan pada 2 Disember 2016 yang lalu akan mendekatkan nilai ringgit kepada asas ekonomi negara.

“Kekuatan sesebuah ekonomi itu amat bergantung kepada tahap produktiviti rakyatnya. Saya percaya, satu cara untuk kita dapat mempertingkatkan daya produktiviti kita ialah dengan memaksimakan ilmu pengetahuan terutamanya dalam bidang ilmu kewangan,” katanya. – MalaysiaGazette