TAIPING – Pelakon Mia Ahmad, 29, sah bergelar isteri kepada penjaga gol pasukan Johor Darul Takzim (JDT) Mohd Izham Tarmizi Roslan, 26, dengan sekali lafaz pagi tadi.

Pasangan terbabit dinikahkan oleh Naib Kadi Masjid Nurul Islam, Aulong, Taiping, Ustaz Abdul Rashid Azidin di Taiping Sentosa Villa, Perak.

Majlis serba ringkas itu dihadiri kira-kira 200 tetamu terdiri daripada keluarga terdekat kedua-dua pihak, selain kenalan rapat.

Pada majlis itu, Mia yang popular dengan drama Hati Perempuan menerima mas kahwin RM2,000 .

Dia membalas sembilan dulang hantaran daripada pihak pengantin lelaki sebanyak tujuh dulang.

Jumlah wang hantaran pula dirahsiakan.

Selepas berkahwin, Mia atau nama penuhnya Samihah Ahmad Baderi akan menetap di Johor Bahru demi suami tercinta.

Pelakon yang baharu muncul dengan drama Jejak Karmila di TV3 itu realistik dalam hal terbabit.

Malam esok, pasangan ini akan diraikan pula pada majlis resepsi di Taiping Golf and Country Club, Taiping.

Sebuah majlis turut dirancang di Kuala Lumpur, hujung Mac nanti. – MalaysiaGazette