Johari Abdul Ghani hadir pada Perasmian Karnival Kewangan di Dewan Tun Razak 1, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 13 JANUARI 2017.

KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia masih terpedaya dengan skim-skim penipuan kewangan yang berleluasa walaupun maklumat dan modus operasi banyak didedahkan.

Menteri Kewangan kedua, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, kebanyakan mangsa-mangsa skim tertipu dengan pulangan pelaburan yang tidak masuk akal.

Beliau berkata, statistik Bank Negara Malaysia menunjukkan jumlah kes penipuan kewangan termasuk kes kad kredit palsu meningkat lebih 50 peratus pada 2016.

Daripada jumlah itu, sebanyak 70 peratus penipuan dibuat menerusi telefon, peningkatan dua kali ganda berbanding tahun lalu.

“Ada juga mangsa penipuan jongkong emas, yang mana nilai emas yang ada hanya 10 hingga 20 peratus tetapi mereka membeli pada harga pasaran.

“Selain itu, penipuan pembelian skim umrah yang sepatutnya dalam lingkungan RM6,000 tetapi ditawarkan antara RM2,000 hingga RM3,000, begitu juga skim pembelian hartanah di bawah RM100,000 tetapi dikenakan deposit serendah RM5,000 hingga RM6,000,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Kewangan anjuran Bank Negara Malaysia.

Tegas beliau, era digital yang berkembang pesat telah memberi laluan luas kepada skim-skim penipuan yang menggunakan pelbagai platform untuk memperdayakan orang ramai.

Lantaran itu, Johari berkata, amat penting rakyat Malaysia celik dan mempunyai kemahiran dalam pengurusan kewangan agar tidak terus terpedaya.

Katanya, dengan pengetahuan pengurusan kewangan, rakyat negara ini dapat menyesuaikan norma-norma baru dalam menghadapi kenaikan kos sara hidup yang tinggi di Malaysia.

Yang penting sekali, rakyat perlu mengelakkan pembaziran dalam perbelanjaan seharian, dengan cara ini mereka dalam mengurus kewangan dengan baik.

Menurutnya, kegagalan dalam pengurusan wang boleh menyebabkan potensi kebankrapan dalam rakyat Malaysia meningkat memandangkan kadar hutang isi rumah negara adalah 88.9 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar pada bulan Jun tahun lalu.

Johari menambah, dalam tinjauan oleh Bank Negara Malaysia menunjukkan 80 peratus rakyat Malaysia bimbang dengan kedudukan kewangan dan tidak bersedia untuk bersara.

Kajian Kumpulan Wang Simpanan Pekerja pula menunjukkan 50 peratus pesara kehabisan wang caruman selepas lima tahun bersama.

“Betapa kritikal perkara ini, justeru rakyat Malaysia perlu menambah baik dalam pengurusan kewangan,” katanya. – MalaysiaGazette