Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Tan Sri Annuar Musa menyifatkan penyebaran surat-menyurat dan baucar antara The Red Warriors (TRW) Sdn. Bhd. dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) menunjukkan kedua-dua pihak melakukan urusan tajaan dengan begitu teratur.

Malah tegas bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) itu, semua urusan tajaan lain juga dibuat secara tertib dan berperaturan.

“Dfahamkan ada disebarkan surat menyurat, voucher dan lain-lain antara TRW Sdn. Bhd dan UniKL.

“Bagi saya, kita ucapkan terima kasih atas edaran itu kerana ia menunjukkan kedua dua pihak lakukan dengan begitu teratur.

“Ada surat tawaran, ada rundingan dan tawar-menawar, ada kontrak, ada voucher, ada resit dan lain-lain.

“Saya percaya bukan dengan UniKL sahaja tapi semua penaja lain. Semuanya dibuat secara tertib dan berperaturan,” katanya di laman Facebook miliknya hari ini.

Annuar menegaskan, kini terbukti penyertaan UniKL dalam tajaan atau pakej komersil TRW dibuat secara terbuka, diisytihar dan diumumkan kepada orang ramai.

Malah jelasnya, majlis menandatangan perjanjian dibuat di depan khalayak dengan publisiti meluas.

“Tiada penajaan secara senyap. Nama UniKL terpampang di jersi seperti dalam kontrak.

“Saya bangga tajaan TRW dibuat secara terbuka dan beretika. Masih banyak pasukan yang kutip duit dari pelbagai sumber tapi segalanya tersembunyi.

“Tiada siapa tahu siapa penyumbang. Ada tajaan atau sumbangan kepada pasukan negeri, ada kepada pasukan kelab, malah ada kepada pasukan milik individu.

“Itu biarlah ikut cara masing masing. Saya bangga TRW sebagai pasukan bolasepak negeri dan mempunyai cara tajaan yang teratur, berdokumen dan telus.

“Walau jersi TRW saban tahun agak ‘gelabut’/overcrowded dengan pebagai stickers (ada kicap, ada makeup, ada telco,ada bas dll) tapi sekurang-kurangnya TRW transparent/telus dan tertib. Tiada apa yang tersembunyi,” katanya dalam kenyataan itu.

Annuar menambah, walaupun beliau tidak lagi menjadi presiden Kafa, harapan agar TRW kekal sebagai pasukan milik ramai, berintegriti, amanah dan tidak menjadi hak mana-mana individu.

“Kini saya sebagai salah seorang penaja. Kita taja selagi TRW bukan milik individu, selagi TRW telus, selagi TRW boleh memberi nilai komersil dan branding exposure yg baik.

“Buat masa ini sebagai penaja, saya masih dan sangat yakin TRW adalah satu pasukan milik ramai yang sangat berkesan dalam memberikan imej, product exposure dan branding effect yang baik.

“Insya-Allah TRW adalah antara pilihan kita dalam memberi pulangan komersil dari package penajaan yang mereka tawarkan.

“Bola belum bermula, jersey belum dijual tapi TRW sudah berada di depan dalam pendedahan dan perhatian para pengguna. Hebat TRW kan kan?…,” katanya. – MalaysiaGazette