Ismail Sabri Yaakob.
KUALA LUMPUR – Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah mengarahkan dua agensi di bawahnya iaitu Pelaburan Mara dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) memberi laporan terperinci berkaitan tajaan kepada pasukan bola sepak Kelantan pada musim lalu.

Pada masa sama, Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Pelaburan Mara dan UniKL tidak dibenarkan lagi menaja mana-mana pasukan bola sepak pada tahun ini.

Beliau menegaskan sebagai contoh UniKL hanya dibenarkan menaja berkaitan bidang pendidikan sahaja selepas ini.

“Saya akan minta laporan terperinci daripada Pelaburan Mara dan UniKL. Saya pun tak tahu pasal tajaan ini dan tidak dimaklumkan.

“Bagi tahun 2017, dua agensi ini tidak boleh lagi menaja seperti itu. Untuk UniKL, mereka hanya boleh taja berkaitan bidang pendidikan.

“Buat sementara waktu, sebarang tajaan kita tangguh dahulu kerana hendak tengok dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis menyerah surat tawaran ke Tingkatan Satu Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) 2017 kepada anak pasangan kelainan upaya (OKU), Aliyah Maisara Md. Akir di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jelatek di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ismail enggan memberi komen lanjut kerana Pengerusi MARA, Tan Sri Annuar Musa telah memberi kenyataan di laman Facebook miliknya semalam.

Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) itu menafikan dakwaan bahawa beliau telah menggunakan kedudukannya untuk memastikan Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) menaja pasukan The Red Warriors (TRW).

Beliau berkata, Mara tidak pernah menaja TRW dan tiada bayaran dikenakan untuk logo ‘Mara 50th’ yang dipamerkan pada bahagian lengan jersi pasukan itu musim lalu.

Annuar yang juga Pengerusi Mara memberitahu, paparan logo tersebut adalah secara percuma yang merupakan satu penghormatan untuk Mara sedangkan mengikut amalan penaja-penaja lain lazimnya perlu membayar RM250,000.

“UniKL pula sebuah syarikat swasta, ia tidak pernah menaja atau memberi biasiswa kepada pelajarnya.

“Jadi, tidak timbul isu ia menggunakan dana biasiswa atau tajaan kerana UniKL mempunyai polisi sendiri terutama dalam soal penjenamaan, promosi dan pemasaran, malah mereka mempunyai bajet khusus untuk tujuan itu,” katanya dalam kenyataan melalui laman Facebook.

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim semalam menulis di Facebook, mendakwa seorang Tan Sri yang tidak dinamakan telah memaksa Mara dan entitinya menaja TRW yang berjumlah RM700,000.

Walaupun tidak menamakan Tan Sri itu secara langsung namun beliau merujuk individu itu sebagai pengerusi Mara, jawatan yang kini disandang oleh Annuar. – MalaysiaGazette