Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Mahathir Mohamad menyampaikan ucapan pada perasmian Parti Pribumi Bersatu Malaysia di Stadium Melawati Shah Alam. foto FAREEZ FADZIL, 14 JANUARI 2016

SHAH ALAM – Tanpa memikirkan hati dan perasaan dua pemimpin Pas yang hadir, Penasihat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) secara terbuka menghentam parti itu yang akan memecah belahkan undi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Dua pemimpin Pas yang hadir ialah Timbalan Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Naib Presiden yang juga Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad.

Kehadiran mereka pada majlis pelancaran PPBM di Stadium Malawati, Shah Alam malam ini, adalah sebagai memenuhi jemputan rakan politik, tetapi kedua-duanya tidak menduga Dr. Mahathir sanggup menyelarnya secara terbuka.

Dr. Mahathir berkata, beliau tidak dapat menerima penolakan Pas untuk bersama dengan Pakatan Harapan (PH) atas alasan kewujudan DAP dan Parti Amanah Negara (PAN).

“Tetapi tindakan Pas ini sebenarnya akan memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN), sedangkan kita (PH) berganding bahu untuk menewaskan mereka (BN) pada PRU14 ini,” katanya.

Beliau berkata, walaupun berlaku pertandingan tiga penjuru antara PH, Pas dan BN, beliau bersama parti pembangkang dari PH bersedia berdepan cabaran itu.

Dr. Mahathir juga berkata, PPBM dan PH sudah bersetuju untuk menggunakan satu logo atau simbol dengan manifesto yang diselaraskan bersama sebagai senjata menghadapi PRU14 melawan BN dan Pas.

“Kita bersetuju akan letak seorang calon sahaja di setiap kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri. Jadi, penyokong parti komponen PH akan memberi undi kepada calon ini,” ujarnya.

Beliau turut meramalkan pilihan raya akan diadakan tahun ini, tetapi tidak menjelaskan bila. – MalaysiaGazette