Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (dua kiri) bersama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed (dua kanan) dan Presiden PEKEMA, Datuk Zainuddin Abd Rahman (kiri) bergambar kenangan bersama replika Wisma Yayasan PEKEMA di Sentral Star, Cyberjaya. foto FAREEZ FADZIL, 14 JANUARI 2017

CYBERJAYA – Kerajaan bersetuju untuk mengkaji langkah-langkah bagi meringankan beban Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) berhubung bayaran fi RM10,000 bagi seunit Approved Permit (AP), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Selain fi berkenaan, terdapat bayaran-bayaran lain seperti kutipan pengurangan cukai (short collection) dan permohonan semula AP terbuka.

“Saya mendengar keluhan Presiden Pekema yang mengatakan kereta terpakai lebih mahal daripada kereta baharu.

“Jadi kerajaan bersetuju untuk mengkaji langkah-langkah yang boleh meringankan beban Pekema namun ini soal hasil negara.

“Selain melibatkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) ia juga melibatkan Kementerian Kewangan tetapi kerajaan memang tidak mahu menyusahkan Pekema serta ingin membantu Pekema menjalankan perniagaan.

“Kita akan cari jalan penyelesaian terbaik,” katanya semasa berucap merasmikan menara berkembar Yayasan Pekema yang bernilai RM25 juta di sini hari ini.

Tambahnya, sejak fi AP sebanyak RM10,000 itu diperkenalkan pada 2010, kerajaan telah mengutip sebanyak lebih kurang RM2 bilion.

Sebahagian daripada hasil tersebut telah diguna semula di bawah program-program Dana Automotif Bumiputera.

Manfaat yang telah diberikan adalah dalam bentuk pinjaman mudah kepada syarikat-syarikat AP terbuka untuk mengembangkan perniagaan.

Ia juga digunakan untuk meningkatkan keupayaan industri automotif di dalam negara.

Dalam pada itu, Najib berkata, kerajaan berhasrat untuk melihat Dasar AP Terbuka menjadi landasan kepada para usahawan menceburi bidang lain sebagai sumber-sumber baharu.

Mereka boleh mendapatkan modal dan menggunakannya untuk dilaburkan di dalam bidang-bidang yang lain pula seperti pengilangan semula (remanufacturing) dan pembuatan komponen. — MalaysiaGazette