Home Ekonomi Ringgit diramal 4.40 berbanding dolar AS minggu depan

Ringgit diramal 4.40 berbanding dolar AS minggu depan

KUALA LUMPUR – Ringgit dijangka mencecah paras 4.40 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan susulan pemulihan sentimen terhadap unit tempatan berkenaan, kata seorang peniaga.

Naib Presiden/Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr. Nazri Khan Adam Khan berkata, asas-asas ekonomi Malaysia yang kukuh dan peningkatan harga minyak mentah dan komoditi lain akan terus menyokong momentum ringgit.

“Data perdagangan China yang lebih baik dari segi peningkatan import boleh ditakrifkan sebagai pertambahan eksport Malaysia, sekaligus mendorong pemulihan ringgit,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Muhammad Ibrahim pada Jumaat berkata, impak penuh langkah-langkah yang dilaksanakan bank pusat dan Jawatankuasa Pasaran Kewangan pada Disember lepas bagi menstabilkan ringgit, dijangka dapat dilihat menjelang pertengahan 2017.

Menurutnya, antara langkah baharu yang dilaksanakan adalah menetapkan pengeksport menyimpan sehingga 25 peratus hasil perolehan eksport dalam mata wang asing dan baki 75 peratus dalam denominasi ringgit.

“Langkah lain termasuk membenarkan pemastautin, termasuk pengurus dana pemastautin untuk melindung nilai dedahan dolar AS dan renminbi China secara bebas dan aktif sehingga had RM6 juta bagi setiap pelanggan setiap bank,” katanya.

Menurut Muhammad, jika perlu, BNM juga bersedia memperkenalkan langkah baharu bagi memperkukuhkan ringgit.

Bagi minggu yang baru berakhir ini, ringgit diniagakan lebih tinggi pada paras 4.4600/4640 berbanding dolar AS daripada 4.4710/4740 yang dicatat pada Jumaat lepas.

Ia juga tinggi berbanding pound Britain kepada 5.4439/4497 daripada 5.5373/5428, sebelum ini.

Unit tempatan itu bagaimanapun susut berbanding kebanyakan mata wang utama lainnya.

Ringgit rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.1243/1282 daripada 3.1176/1213 Jumaat lepas manakala susut berbanding yen kepada 3.8898/8949 daripada 3.8550/8586, minggu lalu.

Berbanding euro, ringgit turun kepada 4.7468/7524 daripada 4.7388/7438, Jumaat lepas. – MalaysiaGazette