Home Ekonomi Takata didenda AS$1b untuk selesai skandal beg udara

Takata didenda AS$1b untuk selesai skandal beg udara

WASHINGTON – Takata Corporation bersetuju mengaku bersalah atas tuduhan salah laku jenayah dan membayar AS$1 bilion untuk menyelesaikan siasatan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat dalam kes beg udara yang telah mengakibatkan 16 kematian di seluruh dunia.

Perjanjian itu diumumkan beberapa jam selepas pendakwa raya di Detroit mengenakan pertuduhan terhadap tiga bekas eksekutif kanan Takata yang memalsukan keputusan ujian untuk menyembunyikan kecacatan inflator, yang mencetuskan panggilan keselamatan automotif terbesar di dunia.

Takata akan membayar denda sebanyak AS$25 juta dan AS$125 juta bagi pampasan termasuk insiden akan datang dan AS$850 juta untuk pampasan kepada pembuat kereta yang terpaksa menanggung kos panggilan semula secara besar-besaran, kata Jabatan Kehakiman.

Para pembekal bahagian auto pula diperlukan untuk membuat pembaharuan ketara dan dalam tempoh percubaan di bawah pengawasan pemantau bebas selama tiga tahun.

Penyelesaian itu mesti diluluskan oleh Hakim Persekutuan di Detroit, akan membantu Takata mendapatkan sokongan kewangan daripada para pelabur, berpotensi menstruktur semula dan membuat pembayaran liabiliti besar daripada panggilan keselamatan automotif besar-besaran.

“Mencapai perjanjian ini adalah langkah utama ke arah menyelesaikan isu inflator beg udara dan peristiwa ini penting dalam proses berterusan untuk menjamin pelaburan dalam Takata,” kata Shigehisa Takada, pengerusi dan ketua eksekutif Takata dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, syarikat itu amat kesal apa yang berlaku dan komited sepenuhnya untuk menjadi sebahagian daripada penyelesaian,” katanya.

Bermula pada tahun 2000, Takata menyerahkan laporan ujian palsu kepada pembuat kereta untuk mendorong mereka  membeli pengepam beg udara yang rosak, menurut Jabatan Kehakiman.

Takata menjual lebih daripada AS$1 bilion pengepam beg udara dan eksekutif Takata telah mereka-reka maklumat ujian mengenai prestasi beg udara itu, kata jabatan itu dalam satu kenyataan. – MalaysiaGazette