Tan Sri Muhyiddin Yassin

SHAH ALAM – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Pakatan Harapan (PH) berjanji akan mengehadkan kuasa Perdana Menteri, sekiranya parti itu berjaya mengambil alih kerajaan di peringkat Persekutuan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) ini.

Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan baharu yang dibentuk itu tidak akan mempunyai seorang Perdana Menteri yang amat berkuasa kerana dikhuatiri akan menyalahgunakan kuasanya.

Kata beliau, kuasa yang ada pada seorang Perdana Menteri mesti digunakan untuk memelihara kepentingan rakyat, bukan menjaga kepentingan diri sendiri.

“Saya akan berbincang dengan pimpinan parti-parti PH, yang mana kita telah mengadakan perjanjian kerjasama untuk melihat bagaimana kuasa Perdana Menteri boleh kita hadkan dengan tujuan untuk meningkatkan integriti dan akauntabiliti Perdana Menteri serta anggota kabinet,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap pada majlis pelancaran PPBM di Stadium Malawati di sini, malam tadi.

Penasihat PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamed menyempurnakan pelancaran parti baharu itu.

Muhyiddin yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri menjelaskan, selaras dengan soal integriti juga, jika mereka diberikan mandat untuk memerintah kelak, saya akan mencadangkan supaya sebuah Suruhanjaya Diraja ditubuhkan untuk menyiasat skandal 1MDB dan membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Ini katanya, untuk memberikan keadilan kepada rakyat yang terpaksa menanggung beban hutang 1MDB yang berjumlah puluhan bilion ringgit.

“Kita juga akan menuntut wang dan harta 1MDB yang dicuri dan dibawa lari ke luar negara supaya dikembalikan ke Malaysia secepat mungkin. Ini adalah sesuatu yang gagal dibuat oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) hingga ke hari ini.

“Namun, sebelum kita sampai ke situ, ada satu perkara penting yang perlu kita lakukan dengan segera. Kita mesti meraih keyakinan rakyat bahawa PPBM bersama parti pembangkang yang lain mampu untuk menjadi sebuah kerajaan alternatif berkaliber,” ujar beliau.

Kata Muhyiddin lagi, rakyat telah bersedia untuk menukar kerajaan, cuma mereka hendak lihat parti pembangkang bersatu, tidak berpecah serta tidak akan berlaku pertandingan tiga penjuru.

“Kalau kita berpecah, nanti rakyat tidak sokong kita, kerana mereka tidak yakin kita boleh menang kalau kita berpecah,” tegasnya.

Bekas Timbalan Presiden UMNO itu turut berjanji, jika PPBM dan PH kita diberikan mandat membentuk kerajaan, perkara utama akan dilakukan ialah menangani permasalahan ekonomi rakyat.

Ujarnya, pihaknya akan mengkaji semula dasar membebankan rakyat termasuk Sistem Cukai Perkhidmatan dan Barangan (GST) dengan melaksanakan langkah untuk mengawal kenaikan kos sara hidup.

“Kita akan menumpukan usaha untuk memulihkan ekonomi negara, mencari sumber baharu untuk menambah hasil negara, melaksanakan perbelanjaan berhemah, mengelakkan ketirisan dan pembaziran wang awam serta berusaha untuk tambah pendapatan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette