KUALA LUMPUR- Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz hari ini menegur jutawan kosmetik, Datuk Aliff Syukri supaya menapis iklan-iklannya supaya mematuhi syariat Islam.

“Atas tanggung jawab sebagai seorang muslim sesama saudara muslimnya, ingin saya menasihati dan menegur Datuk Aliff Syukri secara terbuka di sini agar menapis iklan-iklan oleh syarikat perniagaan beliau agar lebih mematuhi syariat agama.

“Wanita adalah amanah Allah ke atas para lelaki sebagaimana pesan Rasulullah SAW. Kita semua sayugia menjaga mereka daripada segala kejahatan dunia dan akhirat,” ujarnya dalam status media sosialnya hari ini.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, kegalakan iklan mendedahkan aurat wanita adalah perilaku jahiliyah dan dilarang agama.

“Allah mengutuk sekeras-kerasnya mereka yang mempergunakan wanita secara salah untuk tujuan mencari rezeki,” katanya lagi.

Nik Mohamad Abduh merujuk kepada salah satu iklan Syarikat D’HERBS milik Aliff yang disiarkan akhbar harian hari ini yang memaparkan produk Wagic Wax bersama gambar wanita menunjukkan sebahagian kakinya yang licin.

Bagaimanapun, Nik Mohamad Abduh turut memuji Aliff sebagai seorang yang baik dan mereka pernah bertemu semasa bercuti di Tasik Kenyir, Terengganu beberapa tahun lepas.

“Beliau (Aliff) seorang yang memang terlajak baik dan terlajak mesra.
Namun, Allah tidak akan memberkati rezeki itu bahkan mungkin saja melimpahkannya tetapi nantinya berhujung dan putus samada di dunia lagi atau di pintu kubur tanpa sambungan lagi di alam akhirat,” katanya.-MalaysiaGazette