Home Nasional 6 lelaki terlibat pembuatan bom ditahan

6 lelaki terlibat pembuatan bom ditahan

KOTA BHARU – Polis menahan enam lelaki kerana didakwa terbabit dalam pembuatan bom dalam serbuan berasingan di Pasir Mas, semalam.

Suspek masing-masing berumur 30an dan 40an itu ditahan di rumah mereka dalam satu siri serbuan yang bermula kira-kira jam 4 pagi.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Dr. Ab Rahman Ismail berkata, polis menemui beberapa barangan termasuk wayar dan bateri dipercayai komponen untuk membuat bom.

“Kita tidak menolak kemungkinan suspek mempunyai kaitan dengan kumpulan militan Daesh,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri di sini.

Ab Rahman berkata, polis sedang mengesan seorang lelaki yang berkaitan dengan serangan ke atas pemandu Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa pada 13 Januari lalu.

Dalam kejadian tengah malam itu, mangsa telah pergi bersendirian ke rumah lelaki itu di Cabang Tiga Haji Musa di Bukit Marak untuk menuntut bayaran sebelum pertengkaran tercetus antara mereka.

Lelaki itu didakwa menyerang pemandu berkenaan dengan parang. – MalaysiaGazette