Syed Hamid Albar (dua kanan) mencuba realiti maya gerabak keretapi berkelajuan tinggi di Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 16 JANUARI 2017.

Kuala Lumpur – China HSR Consortium yang menyatakan minat untuk membida projek keretapi berkelajuan tinggi di antara Kuala Lumpur- Singapura berkata, pengalaman yang dimiliki oleh syarikat-syarikat di dalam konsortium tersebut memberi kelebihan kepada mereka.

Pengerusi China Railway International Corporation, salah sebuah syarikat yang menyertai konsortium itu, Yang Zhongmin berkata, China HSR Consortium juga memiliki teknologi-teknologi terkini di dalam projek keretapi berkelajuan tinggi .

“China HSR Consortium adalah gabungan syarikat-syarikat ulung serta berprestasi tinggi di China yang mempunyai kepakaran, kelengkapan dan kedudukan kewangan yang kukuh.

“Kami yakin konsortium ini mampu memberikan yang terbaik sekiranya dipilih oleh Malaysia dan Singapura untuk menerajui projek ini.

“Kami juga yakin hubungan baik di antara China dan kedua-dua negara akan menyumbang kepada pemahaman yang lebih baik kepada projek ini,” katanya semasa sidang media selepas majlis perasmian Kiub Pengalaman Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR) China di KL Sentral dekat sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat Malaysia (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar, Duta Besar China ke Malaysia, Huang Huikang dan Ketua Pegawai Eksekutif MyHSR, Mohd. Nur Ismail Mohamed Kamal.

Kiub Pengalaman HSR China itu dibuka kepada orang awam selama tiga bulan dengan memberikan peluang kepada pengunjung untuk mengendalikan simulator, merasai kerusi sebenar dalam pelbagai kelas HSR serta skrin interaktif elektronik.

Menurut Yang, teknologi China HSR adalah terkini, selamat, boleh dipercayai dan kos efektif terutamanya dari segi keserasian dengan sistem dan teknologi lain.

“Keutamaan kami dalam pembangunan HSR adalah keselamatan. Setakat ini kami telah membina 37 sistem kawal selia termasuk memantau keselamatan keretapi, pemantauan alam sekitar untuk operasi, sistem penggera di infrastruktur HSR sekiranya berlakunya bencana alam.

Keselamatan operasi HSR juga mempunyai kemudahan yang mencukupi serta mekanisme pengurusan operasi yang tegas,” katanya lagi.- MalaysiaGazette