Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mewujudkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang baharu di kawasan itu.

Sambil menyifatkan kewujudannya sebagai sejarah dan bermakna bagi rakyat kawasan itu, beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, dengan adanya PBT itu, segala pembangunan masyarakat di situ akan lebih tersusun dan sejahtera.

“Terima kasih kepada Menteri Besar Johor yang menyempurnakan majlis perasmian PBT Pengerang. Kewujudan ini adalah satu sejarah yang begitu bermakna bagi seluruh warga Pengerang.

“Selaku Ahli Parlimen Pengerang, saya bersyukur dan percaya dengan adanya PBT ini, pembangunan masyarakat di sini akan lebih tersusun dan sejahtera,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Menurut Azalina, Pengerang mempunyai keluasan 128,830 hektar dan sebelum ini ditadbir urus oleh Lembaga Bandaran Johor Tenggara serta Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT).

Katanya, PBT Pengerang telah diamanahkan kepada Johor Corporation untuk merancakkan lagi pertumbuhan di Parlimen itu.

“Pembangunan yang begitu pesat di Pengerang sememangnya memerlukan satu badan khusus untuk mentadbir urus Parlimen Pengerang.

“Sejak Pengerang Integrated Petroleum Complex (PIPC) diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Parlimen Pengerang menjadi tumpuan ramai pihak dalam luar negara untuk datang melabur di Pengerang,” ujarnya.

Kata beliau, kewujudan PIPC pula akan membuka mata ramai pihak untuk mengintai ruang dan peluang di situ.

“Dengan wujudnya PBT Pengerang pembangunan akan lebih teratur dan lestari, malah saya juga berharap adanya PBT Pengerang akan memberi lebih banyak limpahan ekonomi rakyat tempatan,” katanya.

Jelas Azalina, pengumuman Menteri Besar Johor itu, bahawa Pengerang akan dilonjak sebagai penyumbang ekonomi global di bawah pembangunan Timur Johor menjadi satu amanah besar kepada PBT Pengerang dan rakyat di situ untuk terus menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN). – MalaysiaGazette