Pesawat Airbus, A330 Oman Air. - Gambar hiasan.

 

MUSCAT – Seorang penumpang Oman Air meninggal dunia ketika dalam penerbangan dari Jeddah ke Muscat, walaupun pesawat tersebut dilencongkan ke Riyard berikutan keadaan kecemasan yang memerlukan bantuan perubatan.

Pesawat tersebut melakukan pendaratan kecemasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid, Riyard dan bantuan perubatan digerakkan sebelum pendaratan itu dilakukan.

Bagaimanapun, penumpang tersebut ‘meninggal dunia berikutan keadaannya’ ketika ketibaan, lapor TradeArabia News.

Kejadian tersebut berlaku pada penerbangan WY674 yang berlepas dari Arab Saudi pagi ini.

Selepas penumpang menghadapi ‘masalah kesihatan’, kapten pesawat memutuskan untuk mendarat di Riyard, lapangan terdekat ketika kejadian, kata Oman Air dalam satu kenyataan.

Maklumat mengenai penumpang masih belum dikeluarkan ketika ini.

Seramai 197 penumpang berada dalam pesawat Airbus, A330 ketika kejadian. – MalaysiaGazette