Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjangka separuh daripada dana asal RM100 bilion Simpanan Syariah 2017 akan dimiliki ahli-ahlinya.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, jangkaan itu dibuat berdasarkan statistik terbaharu pihaknya dan perkembangan itu mengembirakan pihaknya.

Setakat 23 Disember lalu, sejumlah RM59.03 bilion daripada dana asal Simpanan Syariah 2017 telah diambil dan seramai 635,037 ahli telah bertukar kepada skim simpanan terbaharu itu, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Shahril Ridza, bagi Simpanan Syariah 2018, KWSP telah menyediakan dana berjumlah RM50 bilion.

Simpanan Syariah diperkenalkan pada Ogos 2016 yang lalu sebagai pilihan kepada ahli yang mahu menukarkan simpanan persaraan mereka daripada akaun konvensional kepada akaun yang diurus dan dilaburkan mengikut prinsip shariah.

“Kami berada di landasan yang baik untuk mengembangkan pelaburan dalam aset syariah.

“Kira-kira 45 peratus daripada keseluruhan aset pelaburan telah mematuhi prinsip shariah dan kami menjangkakan aset-aset tersebut boleh berkembang sekurang-kurangnya RM25 bilion setahun secara purata,” tambahnya.

Justeru, ahli-ahli KWSP yang berhasrat untuk bertukar kepada Simpanan Shariah 2018 boleh berbuat demikian sebelum 24 Disember 2017.-MalaysiaGazette