Seorang pengguna memasuki Stesen Mass Rapid Transit (MRT) pada hari pertama pembayaran tiket semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di Stesen MRT Sungai Buloh, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 17 JANUARI 2017

SUNGAI BULOH – Setelah sebulan perkhidmatan percuma kepada orang ramai, hari ini Transit Aliran Massa Laluan Sungai Buloh – Kajang mula mengenakan tambang kepada pengguna.

Tinjauan Malaysia Gazette awal pagi tadi mendapati, meskipun kini membayar tambang namun orang ramai masih memilih perkhidmatan pengangkutan awam itu untuk ke destinasi masing-masing.

Bagi Mohd. Haziq Zamri, 18, dia menggunakan MRT hari ini untuk ke Stesen MRT Mutiara Damansara kerana pejabatnya berhampiran dengan kawasan itu.

Menurutnya, dia memilih MRT kerana pengangkutan awam terbaharu itu efisien selain selesa.

Lagi pun, katanya, tambang yang dikenakan sebanyak RM3.50 berpatutan dengan jarak destinasi.

Bagi Sharifah Norhana, 25, pula memilih pengangkutan awam terbaru itu kerana ia lebih selamat kepadanya.

“Selama ini saya berulang-alik ke tempat kerja di Mutiara Damansara menggunakan motosikal. Ini (MRT) jauh lebih selamat,” katanya.

Bagi Amira Sofea, 22 , pelajar jurusan perubatan itu memberitahu, MRT adalah pilihannya sejak pengangkutan itu mula beroperasi.

Walaupun tambang mula dikenakan hari ini namun dia sudah menyukai perkhidmatan itu.

Belajar di sebuah hospital swasta di sekitar stesen MRT Phileo Damansara, Amira berkata, tambang yang dikenakan tidak membebankan.-MalaysiaGazette