Pesawat Eaglexpress

KUALA LUMPUR – Eaglexpress Air Charter Sdn. Bhd. (Eaglexpress) menangguhkan penerbangan bagi jemaah umrah Al-Fajr Travel and Tours sehingga ia mendapat kelulusan mendarat daripada Arab Saudi.

Tegas Eaglexpress, pihaknya sedang bekerjasama rapat dengan Pihak Berkuasa Penerbangan wam (GACA) di bawah Kementerian Pengangkutan Arab Saudi untuk mendapat kelulusan itu.

“Penerbangan (jemaah umrah) ditangguhkan, kami tidak membatalkan dan sesiapa yang membeli pakej umrah dengan Al-Fajr akan diterbangkan sebaik sahaja kelulusan mendarat diperoleh,” kata Eaglexpress dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, Eaglexpress dan Al-Fajr Travel and Tours telah memberi taklimat kepada bakal-bakal jemaah umrah dan agensi-agensi kerajaan tentang penangguhan itu.

“Pada masa ini, kebimbangan utama kami adalah jemaah yang tidak boleh terbang. Eaglexpress dan Al-Fajr telah memberi taklimat kepada jemaah dan ahli keluarga mereka mengenai sebab-sebab kelewatan.

Walaupun kecewa, mereka mengetahui punca kelewatan dan kami mengucapkan terima kasih di atas kesabaran dan pemahaman mereka dalam perkara ini,” kata Eaglexpress lagi.

Sementara itu, Al-Fajr Travel and Tours telah mengambil tanggungjawab untuk logistik dan penginapan bagi penerbangan jemaah yang terjejas.

Al-Fajr akan memaklumkan kepada jemaah tarikh penerbangan baru apabila ia telah disahkan.

Eaglexpress berkata, syarikat penerbangan itu telah menjalankan operasi haji dan umrah sejak lima tahun lalu dengan syarikat-syarikat penerbangan Timur Tengah dan masalah ini adalah kali pertama berlaku.

“Pasukan dalaman kami akan terus berkomunikasi rapat dengan semua pihak berkepentingan di Malaysia dan Arab Saudi untuk memastikan perkara ini diselesaikan secepat mungkin,” katanya.

Eaglexpress mengakui penangguhan kelulusan daripada pihak berkuasa Arab Saudi adalah satu-satunya cabaran bagi syarikat penerbangan itu, semua peraturan dan aspek perkara keselamatan telah dipatuhi mengikut protokol keselamatan antarabangsa.

Syarikat penerbangan itu berkata, ia adalah antara satu daripada syarikat penerbangan di Malaysia yang mematuhi standard Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) dan Audit Keselamatan Operasi IATA (IOSA) serta tidak mengambil jalan pintas dalam mendapatkan kelulusan. – MalaysiaGazette