Pengasas D'Herbs, Datuk Aliff Syukri

KUALA LUMPUR – Jutawan kosmetik, Datuk Aliff Syukri menghargai teguran Nik Abduh Nik Aziz namun terkilan kerana ia mengundang persepsi negatif masyarakat.

Pemilik syarikat D’Herbs itu mengakui tidak ada masalah menerima teguran dan nasihat Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat itu.

“Apa pun terima kasih atas teguran beliau dan juga semua yang memberi nasihat, Insya Allah mudah-mudahan Allah memberkati anda semua di atas nasihat-nasihat yang baik,” katanya melalui status media sosialnya hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas nasihat Nik Abduh mengenai salah satu iklan produk D’Herbs yang memaparkan model wanita yang seksi baru-baru ini.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu mengaitkan paparan model wanita itu keterlaluan sambil mengaitkan rezeki pemberian Allah kepada mahkluknya dan keberkatannya.

Mengulas mengenai soal rezeki, Aliff berkata, ia milik Allah dan dengan rezeki D’Herbs, ia sedikit sebanyak dapat membantu umat Islam lain.-MalaysiaGazette