Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad, Datuk Azman Ismail (kanan) diiringi Ketua Pegawai Operasi PLUS Malaysia Berhad, Mohammad Fuad Khusairi (kiri) menunjukkan strategi PLUS hadapi pertambahan trafik pada musim perayaan Tahun Baharu Cina pada sesi sidang media di Persada PLUS, Subang. foto FAREEZ FADZIL, 18 JANUARI 2017

PETALING JAYA – Keenganan para pemandu mematuhi cadangan waktu perjalanan yang dikeluarkan Lebuhraya Utara- Selatan (PLUS) menyebabkan masalah kesesakan teruk ketika cuti panjang atau musim perayaan tidak akan dapat diselesaikan.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, pada cuti perayaan Tahun Baharu Cina kali ini, PLUS cuba memperkenalkan beberapa strategi pengagihan trafik dan pemantapan operasi lebuh raya supaya perjalanan pengguna ke destinasi lebih lancar dan selamat.

Antara yang diperkenalkan PLUS adalah penawaran rebat tol sebanyak 50 peratus bagi pembayaran menggunakan sistem elektronik seperti kad Touch ‘n Go atau SmartTAG serta kad PLUSMile bagi pengguna kenderaan kelas 1 yang membayar tol di antara jam 12 malam sehingga 6 pagi pada 27 dan 30 Januari serta 3 dan 4 Februari ini.

Menurut beliau, PLUS menjangkakan sebanyak 1.6 juta kenderaan akan menggunakan lebuh raya pada hari-hari puncak iaitu 26,27,28,29,30 dan 31 Januari serta 4 dan 5 Februari ini.

“Kami ada melakukan kajian dan apa yang kami dapati, sikap pengguna lebuh raya terhadap pematuhan jadual perjalanan ini sangat tidak menggalakkan.

Jadi, kami sentiasa mencari strategi-strategi baharu supaya boleh menarik minat mereka untuk mematuhi cadangan tersebut kerana masalah timbul apabila jadual perjalanan ini tidak dipatuhi kerana semua kenderaan akan berada di atas lebuh raya pada waktu yang sama dan ini menyebabkan kesesakan teruk.

Jadual pematuhan ini dibuat berdasarkan kajian dan penelitian had masa dan jarak perjalanan sesebuah kenderaan supaya mereka tidak terperangkap di tempat yang sama pada waktu yang sama,” katanya lagi semasa sidang media di sini hari ini.

Berdasarkan jadual cadangan waktu perjalanan, orang ramai dari Lembah Kelang yang menuju ke destinasi yang jauh seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak Utara dan Johor boleh memasuki lebuhraya sebelum jam 12 tengahari.

Bagi orang ramai dari Lembah Kelang yang menuju ke destinasi yang lebih dekat seperti Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Perak Selatan dan Perak Tengah pula dinasihatkan bergerak memasuki lebuhraya selepas jam 2 petang.

Selain itu PLUS juga akan membuka laluan kontra di laluan-laluan kritikal seperti berhampiran Terowong Menora setelah mendapat kelulusan pihak pokis.

Kerja-kerja penyelenggaraan jalan raya juga akan dihentikan di antara 26 Januari sehingga 5 Februari manakala sejumlah 2,130 kakitangan akan ditempatkan di 1,130 lorong tol untuk melancarkan transaksi pembayaran tol.

Maklumat trafik terkini turut disediakan menerusi aplikasi PLUS Mobile App, Twitter, PLUSTrafik, talian bebas tol PLUSLine 180088000 serta siaran-siaran radio utama.- MalaysiaGazette