Calon-calon UPSR tekun menjawab soalan peperiksaan. Gambar hiasan
KUALA KANGSAR – Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar hari ini melepas dan membebaskan seorang guru daripada tiga pertuduhan memiliki beberapa muka surat kertas soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014.

K Anparasu, 52, sebelum ini berkhidmat sebagai Penolong Kanan Pentadbiran di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Keruh, Pengkalan Hulu dilepas dan dibebaskan selepas mahkamah berpuas hati dengan keterangan serta hujah 16 saksi pendakwaan dan pihak pembelaan dalam kes berkenaan.

Keputusan kes dibacakan Hakim Niran Tan Kran, manakala tertuduh diwakili peguam T Ellanggovan, sementara pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nazratul Natrah Mohd Yusof.

Hakim Niran Tan Kran ketika membacakan keputusan kes itu berkata pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie dalam kes berkenaan dan mengarahkan barang kes termasuk telefon bimbit dikembalikan kepada Anparasu.

Anparasu dituduh memiliki beberapa muka surat kertas soalan Matematik 035/1 dan Matematik 035/2 dalam telefon bimbit jenis Samsung Trend miliknya di sekolah sama pada 9 Sept 2014 masing-masing pada 9.43 pagi dan 8.29 pagi.

Selain itu, dia juga dituduh memiliki beberapa muka surat kertas soalan Sains 018, juga di dalam telefon bimbit dan di sekolah sama pada 10 Sept 2014, 9.15 pagi.

Semua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 8(1)(c)(iii) Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88) yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun jika sabit kesalahan.

Tertuduh diwakili peguam T. Ellanggovan sementara pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nazratul Natrah Mohd Yusof.

— BERNAMA