Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah.

ALOR SETAR – Kedah melarang semua pegawai tinggi kerajaan negeri memenuhi undangan bermain golf dengan dengan kontraktor termasuk di luar negara.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipa berkata, larangan meliputi pegawai jabatan dan agensi kerajaan negeri.

“Sebagai langkah pengukuhan integriti, larangan dikenakan bagi semua pegawai tinggi jabatan dan agensi negeri bermain golf di luar negara ataupun pakej bermain golf bersama kontraktor, pembekal atau orang berkepentingan semasa waktu pejabat,” ujarnya dalam Majlis Perutusan Tahun Baharu di sini hari ini.

Menurut Ahmad Bashah, imej pentadbiran kerajaan negeri dan persekutuan yang ada di Kedah bukan sahaja perlu dilihat bersih, sifar rasuah, cekap lagi efisien malah mestilah menjauhi sebarang tindakan yang bercanggah dengan undang-undang.

“Saya juga ingin menekankan agar konsep pengurusan kasual dilaksanakan. Tujuannya bagi mengecilkan jurang antara barisan pimpinan, pegawai tingi dan rakyat biasa apabila sesuatu majlis keraian atau sambutan diadakan,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Menteri Besar Kedah juga mahu sistem penyampaian kerajaan negeri perlu pro-aktif bukan lagi statik.

“Fungsi jentera pentadbiran tidak seharusnya terhad selaku desk officer semata-mata.

“Khidmat perlu memenuhi piagam pelanggan sepertimana yang dimaktubkan. Jangkauan perkhidmatan haruslah meluas,” katanya.

Menurut Ahmad Bashah, semua jabatan serta agensi negeri diarahkan untuk menilai kembali SOP dalam menyediakan sistem penyampaian kepada pengguna.

“SOP jabatan dan agensi yang tidak sesuai dan menyusahkan pengguna perlu disemak semula dan dilakukan penambahbaikan dengan diberi masa sebulan dari tarikh hari ini,” tegasnya lagi.

Kerajaan Kedah juga mempelawa syarikat korporat mahupun orang perseorangan menyalurkan sumbangan kepada ‘Tabung Lembaga Biasiswa Kerajaan Negeri’ agar lebih ramai pelajar negeri ini dapat dibantu melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Menurutnya, oleh kerana kekangan kewangan kadangkala menyebabkan jumlah pinjaman yang diberi terpaksa dihadkan dan ditolak.-MalaysiaGazette