KUALA LUMPUR – Penyanyi yang popular dengan lagu Bayang, Khai Bahar percaya namanya tidak merudum berikutan populariti hebat yang diraih penyanyi seangkatan seperti Aiman Tino dan Sufian Suhaimi.

Menurut pemilik nama sebenar Muhamad Khairul Baharudin, dia sebaliknya bersyukur kerana masih mendapat sokongan ramai peminat dan percaya dengan rezeki daripada Tuhan.

“Alhamdulillah, pengikut saya di lama sosial semakin ramai. Bagi saya, mempunyai jumlah pengikut yang ramai itu penting bagi sesorang secara tidak langsung menyuntik semangat untuk menghasilkan karya-karya yang baik.

“Saya tidak tertekan kalau ada yang cakap saya sudah tidak popular dan bagi saya itu bergantung semua rezeki. Kalau orang tak suka, ertinya bukan rezeki saya,” tuturnya.

Jejaka berasal dari Perlis ini ketika ditemui pada majlis perasmian produk kecantikan dan kosmetik, Meriel di Saloma Bistro di sini semalam.

Khai, 24, sebelum ini mencuri perhatian di awal-awal kemunculannya sekitar tahun lalu selepas nyanyiannya secara maya bersama Siti Nordiana menerusi aplikasi Smule menjadi viral di laman sosial.

Berkongsi pula tentang perkembangan terkini, Khai kini muncul dengan taruhan single terbaharu berjudul Dari Jauh Saja. Lagu tersebut merupakan ciptaan gitaris kumpulan Mojo, Dani.

“Saya harap lagu baru saya akan mendapat sambutan kalau boleh lebih lagi daripada lagu Bayang sebelum ini,” katanya.

Selain itu, Khai bakal membuat persembahan di negeri Sarawak pada bulan Mac nanti.

“Sebenarnya gementar juga rasa hendak pergi membuat persembahan di sana. Tapi insyaAllah, harap semuanya okay,” luahnya sambil tersenyum.

Terdahulu, Khai pernah dikaitkan denga isu kenyataannya bahawa negeri Sarawak tiada apa-apa ketika sesi temuramah di sebuah program tempata sekitar April lalu yang telah mengundang kemarahan segelintir rakyat negeri itu. Akibatnya dia dikecam teruk oleh sesetengah pihak.

Bagaimanapun, Khai sudah pun memohon maaf atas kesilapannya sekaligus menjelaskan kenyataan tersebut tidak membawa sebarang niat burut terutama menghina negeri yang pernah menjadi tempat dia mencari rezeki selama lapan bulan, satu ketika dulu. – MalaysiaGazette