Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad

SHAH ALAM – Selepas menguatkuasakan larangan penggunaan beg plastik di pusat beli belah dan pasar raya mulai 1 Januari lalu, kerajaan Selangor akan menganjurkan program Hari Tanpa Kenderaan pula.

Program pada 22 Januari ini, menyaksikan beberapa jalan di sekitar bandar raya di ibu negeri Selangor itu akan ditutup kepada semua jenis kenderaan berenjin termasuk motosikal.

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) diberi tanggungjawab menganjurkan program bermula jam 6.30 pagi hingga 9.30 pagi.

Antara jalan yang akan ditutup selama tiga jam itu ialah Persiaran Bandaraya (Dataran Kemerdekaan), Persiaran Perbandaran, Persiaran Tasik, Persiaran Masjid, Persiaran Dato’ Menteri dan Persiaran Damai.

Sehubungan itu, menurut Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad, orang ramai dan peniaga diharap mengambil maklum dengan penutupan jalan sekitar bandar raya Shah Alam ini.

“Pengguna jalan raya boleh menggunakan laluan alternatif yang disediakan sepanjang program itu nanti,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kata Shahrin, program Hari Tanpa Kenderaan diadakan untuk menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan warga Shah Alam dan jika berjaya, akan diadakan pada minggu kedua setiap bulan.

Beliau menjelaskan, hanya mereka yang basikal, roller blade, papan luncur, hover board, berjalan kaki` dan skuter blade sahaja dibenarkan melalui jalan yang ditutup itu,” katanya. – MalaysiaGazette