KUALA LUMPUR – Lagu Sejati yang memenangi kategori Lagu Terbaik dan Lagu Pop Terbaik menerusi Anugerah Industri Muzik (AIM 22) pada tahun lalu secara rasminya telah memuat naik muzik videonya di Youtube semalam.

Muzik video itu adalah arahan Khairul Hezman dan tenaga produksi daripada Faithworks.

Ia berkonsepkan drama realiti yang menceritakan tentang realiti kehidupan pada masa kini yang hanya mementingkan darjat, pangkat dan paras rupa semata-mata dari agama.

Muzik video itu sarat dengan nilai-nilai murni dan pengajaran bermakna untuk dijadikan contoh dan tauladan untuk kehidupan seharian.

Mesej yang cuba disampaikan begitu jelas bahawa manusia zaman ini hanya menilai seseorang dari luaran tanpa mengetahui latar belakang dan niat mereka yang sebenar.

Penggambaran muzik video ini berlaku di sekitar lembah Klang dan memakan masa selama tiga hari. Lirik Sejati ditulis oleh Faizal Tahir sendiri bersama Mike Chan.

Khas buat peminat Faizal Tahir, lagu keluaran Warner Music (M) Sdn. Bhd. itu boleh dimuat turun menerusi digital platform: Apple Music, iTunes, Spotify, Yonder , JOOX dan KKBOX. – MalaysiaGazette