Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menegaskan sepatutnya Kadir menghormati penjelasan Penyimpan Mohor Besar Majlis Raja-Raja Melayu berhubung aduan SPRM itu.
Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menegaskan sepatutnya Kadir menghormati penjelasan Penyimpan Mohor Besar Majlis Raja-Raja Melayu berhubung aduan SPRM itu.

KUALA LUMPUR – Pengerusi MARA, Tan Sri Annuar Musa menyifatkan beliau kini ‘berdarah manis’ menyebabkan pihak-pihak luar berasa seronok hendak ‘memukulnya’, terutama membabitkan isu penajaan UniKL dalam tajaan The Red Warriors (TRW).

Menurutnya, beliau faham tentang keadaan semasa sejak mula menawarkan diri untuk menjadi Presiden FAM, selain beliau juga terlibat dalam politik bola dan politik nasional sebagai Ketua Penerangan UMNO.

“Saya faham sebahagian percakapan (isu tajaan) dalam kalangan orang-orang bola, niat mereka jujur, ikhlas. Dalam bola juga ada politik bola, kalau penyokong di luar, mereka tidak ada politik, sekadar minat bola, hendak tahu cerita sebenar.

“Tapi ada satu kumpulan ialah politik bola. Yang politik bola ini ada yang hendak berebut jawatan, hendak itu dan ini, next level politik di luar bola, itu lagi hebatlah.

“Mula-mula saya hanya sebagai Presiden Bola Sepak Kelantan, saya tidak ada masalah kerana saya hanya ada penyokong. Kalau penyokong hendak tibai kita, saya tidak ada masalah. Itu seronok.

“Tapi bila saya umum hendak bertanding presiden (FAM), bahang itu saya dapat merasakannya. Dalam bola ada politik bola, bila keluar ada politik arus perdana. Jadi, orang seronok hendak ‘pukul’ saya. Saya terima seadanya,” katanya dalam rancangan Ruang Bicara malam tadi.

Secara sinis, Annuar berkata, semasa dilantik sebagai Ketua Penerangan, beliau bimbang tidak ada pihak-pihak yang hendak peduli, tibai, persoal atau bertanya kepadanya.

Lantaran itu, Annuar mengambil isu tajaan UniKL kepada TRW sebagai sesuatu yang positif kerana secara tidak langsung beliau dapat menjelaskan perkara yang ditimbulkan kepada semua orang.

Jika isu itu tidak menjadi kontroversi, rakyat yang tidak tahu sitausi sebenar akan mempercayai berita yang disebar secara bulat-bulat dan membuat persepsi sendiri.

Mengulas mengenai isu tajaan UniKL itu, Annuar mengulangi penegasannya bahawa beliau tidak terlibat sama sekali sebaliknya ia adalah rundingan komersial yang mana KAFA menawarkan iklan yang ada nilai bagi pelaburan dan UniKL mendapat faedah daripadanya.

Beliau berkata, kedudukannya hanya sebagai Pengerusi MARA sahaja dan tidak terlibat dalam 20 anak syarikat MARA yang lain kerana masing-masing mempunyai pengurusan dan lembaga pengarah sendiri.

Meskipun UniKL adalah anak syarikat MARA, ia perlu membayar untuk membuat iklan kerana entiti pendidikan itu adalah sebuah syarikat perniagaan dan tajaan yang dikeluarkannya adalah daripada bajet iklan dan pemasaran.

“UniKL adalah sebuah entiti pendidikan swasta seperti MSU, kolej Berjaya dan sebagainya. Mereka ada strategi masing-masing untuk mempromosi untuk mendapatkan seberapa banyak kemasukan penuntut.

“Dan, UniKL mahu menaja kerana melihat potensi kemasukan penuntut-penuntut dari Kelantan. Itu strategi mereka,” katanya sambil menambah UniKL bukan sahaja menaja bola sepak tetapi membuat tajaan dalam sukan hoki.

Lagipun tajaan yang dibuat oleh UniKL bukan secara bersembunyi sebaliknya jumlah tajaan diisytiharkan, ada surat tawaran dan mendapat liputan media. Malah, UniKL juga menyaksikan peningkatan dalam pengambilan jumlah penuntut baru.

Annuar hairan mengapa beliau dipersoalkan dalam segi kepentingan peribadi, sedangkan jawatan persatuan bola sepak negeri yang dipegang oleh Menteri Besar dan mendapat iklan tajaan daripada anak-anak syarikat negeri.

“Adakah itu boleh dikira konflik kepada kepentingan peribadi,” soalnya.

Katanya, semua pihak sepatutnya melibat tajaan yang dibuat oleh syarikat-syarikat berlandaskan tujuan lebih besar iaitu untuk memajukan sukan untuk negara kerana bola sepak Malaysia belum ke tahap mendapat keuntungan.

Sebaliknya, persatuan-persatuan perlu mencari wang untuk menghidupkan sukan.

Menjawab tentang kenyataannya yang tidak konsisten berhubung isu tersebut, Annuar berkata, beliau pada awalnya hanya menjawab persoalan media tentang penggunaan wang MARA untuk menaja TRW.

“Semasa kontroversi timbul, saya berada di Taman Negara. Apabila saya tiba di pangkalan, saya dapat panggilan media yang bertanya soalan itu. Memang benarlah MARA tidak keluar satu sen pun walaupun ada logo MARA.

“Selepas saya baca posting tentang resit, baucar barulah saya tahu isu sebenarnya. Saya tidak salah (beri kenyataan awal kerana saya rujuk pada duit MARA,” katanya. – MalaysiaGazette