Shaiful Hazizy Zainol Abidin
Shaiful Hazizy Zainol Abidin

ALOR SETAR – Dewan Pemuda Pas tidak perlu menjadikan isu Kolej Universiti Insaniah (KUIN) sebagai gimik politik murahan mereka di Kedah.

Sebaliknya, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, parti yang pernah menjadi kerajaan negeri itu perlu berterima kasih kepada kepimpinan sekarang.

“Sepatutnya mereka perlu berterima kasih kepada kepimpinan yang ada kerana bebanan dan bahana yang telah mereka tinggalkan legasi yang cukup buruk dibaiki, dikukuh dan distrukturkan dengan visi yang lebih rencam oleh kerajaan masa kini.

“Dalam soal pengiktirafan KUIN selaku universiti penuh disebabkan ianya melibatkan penarafan dan pengiktirafan bukan sahaja oleh MQA dan agensi penarafan antarabangsa maka soal kualiti tenaga pengajar, kredentials mereka dengan sasaran sekurangnya 50 peratus pensyarah memiliki kelulusan Ph.D,” ujarnya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut Shaiful Hazizy, KUIN daripada sebuah kolej universiti yang hampir caca marba sepanjang tujuh tahun lalu dengan isu staf, kurikulumnya selain isu pelajarnya, KUIN telah distrukturkan semula.

“Hakikatnya KUIN adalah lambang perancangan ‘mi segera” kerajaan terdahulu dan sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, Barisan Nasional komited untuk menyelesaikan segala permasalahan yang ada dan KUIN di strukturkan kembali,” katanya lagi.

Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah itu juga memberitahu, mulai tahun lalu dengan upaya pentadbiran Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah apabila hutang pembinaan KUIN yang berjumlah RM330 juta yang dipinjam dengan bank komersial oleh kerajaan terdahulu telah distrukturkan semula.

Kerajaan Pusat, katanya, bermurah hati untuk menyerap hutang berkenaan, natijahnya beban negeri yang terpaksa membayar pinjaman beserta faedah sejumlah RM45 juta setahun tidak termasuk geran selenggaraan sejumlah RM22juta kini dapat dikurangkan dengan hanya membayar RM18 juta.

“Ini mewujudkan lebihan sebanyak RM27juta yang boleh disalurkan bagi meningkatkan pelaburan modal insan tenaga pengajar INSANIAH dan usaha mengukuh aspek kurikulum, program pengajian berkualiti dan juga usaha promosi bagi meningkatkan lagi enrolmen pelajar ke KUIN.

“Sama ada pelajar domestik mahupun antarabangsa,” katanya.-MalaysiaGazette