Abdul Rahman Dahlan
KUALA LUMPUR – Pelaburan Langsung Asing (FDI) bukan semata-mata mengenai pelaburan dalam industri pembuatan memandangkan Malaysia juga perlu membangunkan sektor perkhidmatannya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Beliau berkata pembangunan sektor perkhidmatan merupakan satu keperluan untuk memajukan negara ke peringkat pembangunan ekonomi seterusnya, menjadi negara maju berpendapatan tinggi.

“Di negara-negara maju, sektor perkhidmatan menyumbang sehingga 80 peratus kepada sektor pekerjaan dan Keluaran Dalam Negara Kasar negara terbabit,” katanya, yang bertanggungjawab ke atas Unit Perancang Ekonomi, dalam kenyataan hari Sabtu.

Pada 2015, daripada RM43.4 bilion FDI, hampir 40 peratus atau RM17.1 bilion, adalah kepada sektor pembuatan, dan ini menunjukkan Malaysia masih lagi menjadi tarikan kepada FDI untuk terus melabur dalam sektor berkenaan, katanya.

Pelaburan dalam sektor perkhidmatan sejak 2009 melonjak daripada RM30 bilion kepada setinggi RM150 bilion pada 2014 dan RM115 bilion pada 2015.

Abdul Rahman berkata demikian bagi mengulas catatan blog Tun Dr Mahathir Mohamad berkaitan FDI serta pembangunan rancak di Johor.

Menteri di JPM itu berkata, Dr Mahathir masih lagi tenggelam dalam masa lampau dan tidak dapat menerima hakikat ekonomi dan keperluan untuk Malaysia terus maju kini berbeza.

“Kita boleh terus terperangkap dalam kenangan sektor pembuatan yang menyediakan pekerjaan berpendapatan rendah atau kita boleh bergerak ke hadapan untuk mencatat kemajuan sebagai sebuah negara,” katanya.

Abdul Rahman berkata dalam usaha untuk keluar daripada perangkap pendapatan pertengahan dan menyediakan pekerjaan berpendapatan tinggi khususnya pekerjaan berasaskan pengetahuan kepada rakyat Malaysia, kerajaan telah melaksanakan usaha sejak 2009 untuk membangunkan sektor perkhidmatan dan mengimbangi semula ekonomi.

Beliau berkata aliran keluar modal memang berlaku sejak Malaysia membuka ekonominya kepada dunia berdekad-dekad lepas.

Syarikat multinasional yang membuka operasi mereka di Malaysia telah membawa pulang keuntungan daripada operasi tempatan kepada ibu pejabat masing-masing sejak 1980-an.

“Selain daripada pengaliran keluar wang melibatkan pekerja asing, terdapat juga aliran keluar bersih RM20 bilion dalam bentuk perolehan pelaburan setiap tahun sejak 1999,” katanya.

“Ini bermakna Malaysia merupakan destinasi untuk pelabur asing memulakan perniagaan, mewujudkan peluang pekerjaan dan membuat untung tanpa sebarang masalah, keadaan ini sudah berlaku sejak pentadbiran Dr Mahathir lagi,” katanya.

Abdul Rahman berkata walaupun tumpuan kerajaan untuk beralih daripada pekerjaan pendapatan rendah dan industri pembuatan kepada segmen lebih tinggi, iaitu industri berasaskan perkhidmatan seperti di negara maju, sektor pembuatan tetap menerima aliran kemasukan FDI yang tinggi.

Beliau mengulangi bahawa Malaysia masih meletakkan keutamaan tinggi kepada sektor pembuatan.

“Bagaimanapun, kerajaan kini menjadi lebih selektif terhadap jenis FDI dalam pembuatan.

“Ia mahu dan cenderung kepada pengeluar yang mempunyai nilai tambah tinggi dengan penggunaan teknologi tinggi dan berintegrasi, serta memanfaatkan infrastruktur dan kelebihan yang banyak yang ditawarkan Malaysia,” katanya.

— BERNAMA