Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak turut melakukan senamrobik pada Program Detik-detik Perpaduan (Moments of Unity) turut serta Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) merangkap Presiden ACCCIM, Datuk Ter Leong Yap di Taman Botani Tasik Perdana, Kuala Lumpur. 21 JANUARI 2017

KUALA LUMPUR – Program Unity Internship merupakan kunci dan landasan terbaik penyatuan nasional peringkat akar umbi mengekalkan integrasi nasional.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Joseph Kurup berkata, program latihan industri perpaduan yang mengambil mahasiswa bumiputera menjalani latihan di syarikat bukan bumiputera dianggapnya satu idea kreatif.

Program itu dilaksanakan oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional bukan sahaja mampu merapatkan jurang perkauman tetapi juga meningkatkan produktiviti negara.

“Atas dasar itu Unity Internship dilihat sebagai landasan kepada penyatuan nasional peringkat akar umbi industri.

“Untuk pengetahuan semua, sehingga kini lebih 2,000 mahasiswa dari lapan buah IPTA menyertai Unity Internship,” ujarnya semasa Program Detik-Detik Perpaduan yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di sini hari ini.

Joseph juga berharap kesemua mahasiswa terlibat dalam program itu dapat memberikan pandangan mereka kepada pihaknya bagi membolehkan kerajaan merangka Transformasi Nasional 2050.

Melihat perkembangan positif itu, kerajaan berhasrat memperluaskan Unity Internship ke fasa kedua iaitu menempatkan pula mahasiswa bukan bumiputera ke dalam syarikat bumiputera, GLC dan dewan perniagaan Melayu.

Beliau juga berharap majlis Detik-Detik Perpaduan hari ini dapat mencetuskan satu gerakan besar-besaran menyemarakkan perpaduan di seluruh negara.-MalaysiaGazette