Iskandar Abd. Samad

KUALA LUMPUR – Pas belum lagi membuat sebarang keputusan mengenai bentuk kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Naib Presidennya, Datuk Iskandar Abd. Samad berkata, sebarang keputusan tidak akan dibuat berdasarkan khabar angin seperti perjanjian antara Penasihat PBM, Tun Dr. Mahathir Mohammad dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Katanya, keputusan itu mesti dibuat secara profesional berdasarkan fakta yang konkrit.

“Mengenai perjanjian tersebut, jika benar, ianya adalah antara dua pihak.

“Pembentukan kerajaan ini bukan perkara yang mudah untuk dilaksanakan kerana ia memerlukan penglibatan dan persetujuan banyak pihak,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Iskandar yang juga Pesuruhjaya Pas Selangor berkata, dalam suasana politik hari ini, tidak  ada parti atau gagasan parti yang dapat membentuk kerajaan secara bersendirian kerana ia memerlukan kerjasama lebih luas.

“Buat masa ini, Pas masih menjemput pimpinan PPBM seperti Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalannya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir ke program Pas.

“Pas hanya akan bekerjasama dengan pihak yang menghormati prinsip dan dasar Pas sahaja. Juga pihak yang tidak mencampuri urusan dalaman Pas,” tegas beliau. – MalaysiaGazette