Iskandar Abd. Samad

SHAH ALAM – Pas kehilangan kira-kira 126,000 ahli tahun lepas berikutan berlaku perpecahan peringkat dalaman yang menyebabkan kelahiran parti baharu, Parti Amanah Negara (PAN).

Bagaimanapun, jumlah yang hilang itu akan diganti dan dijangka dapat mencecah sejuta keahlian menjelang Muktamar Agung Tahunan Pas tahun ini.

Menurut Naib Presiden Pas, Datuk Iskandar Abd. Samad, pelbagai usaha dilakukan jawatankuasa Pas Pusat bagi memastikan parti itu mempunyai keahlian sehingga satu juta.

“Keahlian Pas perlu capai satu juta menjelang Muktamar Tahunan Pas tahun ini. Asalnya keahllian kita sudah mengenapi angka itu, tetapi selepas pemutihan dibuat tahun lalu, keahlian kini tinggal kira-kira 874,000 ahli.

“Usaha untuk mencapai keahlian bertambah dan mencapai satu juta menjelang muktamar ini pelbagai usaha dilakukan seperti pertandingan keahlian di peringkat kawasan dibuat secara bulanan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada pelancaran Pas Pilihanku di Dataran Kemerdekaan Shah Alam di sini, hari ini.

Kata Iskandar yang juga Pesuruhjaya Pas Selangor, bagi kawasan yang mendaftar keahlian paling ramai akan diberikan anugerah pada muktamar ini.

Sehubungan itu, beliau meminta semua ahli dan penyokong Pas agar memastikan keluarga mereka juga turut mendaftar sebagai ahli. – MalaysiaGazette