Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak berucap pada Program Detik-detik Perpaduan (Moments of Unity) di Taman Botani Tasik Perdana, Kuala Lumpur. 21 JANUARI 2017

KUALA LUMPUR – Program Unity Internship yang menyaksikan mahasiswa bumiputera khususnya Melayu menjalani latihan amali di syarikat bukan bumiputera akan diperluaskan pada masa depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, program berkenaan dapat ‘memecahkan’ tembok perkauman dan meningkatkan integrasi dalam kalangan rakyat Malaysia.

Program Unity Internship setakat ini melibatkan sebanyak 2,161 syarikat bukan bumiputera melalui inisiatif Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional.

“Semua retailer akan ambil pelajar melalui Unit Internship ini buat latihan (amali) di syarikat-syarikat mereka.

“Kita perluaskan, buat secara tahunan malah sepanjang masa. Beri peluang orang muda di Malaysia, latih mereka.

“Kejayaan orang China kejayaan kita, kejayaan orang Melayu kejayaan kita dan kejayaan orang India juga kejayaan kita. Begitu juga di Sabah dan Sarawak,” ujarnya semasa merasmikan Program Detik-Detik Perpaduan di sini pagi tadi.

Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup dan Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia, Datuk Ter Leong Yap.

Selain itu, Perdana Menteri juga menegaskan, sikap ekstremisme menjadi ‘musuh’ kepada keharmonian sesebuah negara.

“Kita bantah ekstremisme. Masalah ekstrem ini tidak ada kena mengena dengan agama. Tidak ada masalah kalau kita anuti agama tetapi yang masalahnya ada (sikap) ekstrem.

“Kita ada muslim ekstrem seperti Daesh dan IS, kita ada ekstrem Budhha seperti di Rakhine, kita ada ekstrem Kristian dan ada ekstrem Yahudi,” katanya lagi.

Apa yang lebih penting menurut Najib kebaikan seseorang itu berdasarkan karakternya dan bukan dinilai daripada agama, warna kulit dan budayanya.

Beliau juga menegaskan, soal perpaduan dan keharmonian di negara ini bukan tanggungjawabnya seorang tetapi setiap anggota masyarakat perlu melaksanakannya.-MalaysiaGazette