Datuk Seri Najib Razak
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengucapkan tahniah kepada Donald Trump selepas mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat ke-45.

Dalam satu kenyataan hari Sabtu, Najib menarik perhatian bahawa hubungan antara Amerika Syarikat (AS) dan Malaysia telah berkembang sejak tahun-tahun kebelakangan ini, hingga mencapai peningkatan kepada perkongsian komprehensif pada 2014.

Dalam ucapan tahniah kepada presiden baharu itu, Najib berkata” “Saya menaruh harapan untuk bekerjasama dengan Presiden Trump.

“Saya yakin bahawa di bawah kepimpinan beliau dan saya, hubungan antara AS dan Malaysia akan bertambah kukuh dan kita akan menjadi rakan setia bagi keamanan dan kestabilan di rantau itu,” kata beliau.

Najib berkata Trump menyandang jawatan itu selepas mengharungi liku-liku perjalanan luar biasa yang menunjukkan bahawa ahli politik tidak harus mengambil mudah kuasa di tangan pengundi.

“Beliau bersuara untuk Amerika yang beliau berasa ia telah diabaikan terlalu lama. Sekarang ialah masa untuk mentadbir untuk semua rakyat Amerika, ” kata Perdana Menteri.

Trump, calon Parti Republikan, mengangkat sumpah pada Jumaat di Washington DC selepas menewaskan calon Parti Demokrat Hillary Clinton dalam saingan sengit pada pemilihan presiden AS.

— BERNAMA